“Bila cinta tak lagi cukup untuk mempertahankan segalanya, maka lepaskanlah walau hati masih berharap.” Inilah denyut rasa yang diangkat dalam lagu duet terbaharu berjudul Cukup Kita, hasil gabungan vokal mantap Ayu Damit dan Emeer Bakri. Lagu yang sarat dengan emosi ini kini menjadi runut bunyi rasmi untuk drama sensasi slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.
Mengisahkan tentang luka cinta yang dikhianati dan janji yang dimungkiri, Cukup Kita mengalir seperti suara hati mereka yang pernah merasai pahitnya pengorbanan dalam hubungan. Dengan gabungan genre balada moden, sentuhan string sinematik dan elemen rock pada bahagian bridge, lagu ini membawa kelainan yang jarang didengari dalam industri muzik tempatan.
Menurut komposer dan penulis lirik lagu ini, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, inspirasi tercetus ketika mereka mendengar lagu-lagu pop balada Inggeris. Genre ini yang sekian lama tidak diberi perhatian di Malaysia telah mendorong mereka untuk mencipta sesuatu yang segar namun dekat di jiwa pendengar.
“Keunikan lagu ini bukan sekadar pada susunannya, tetapi juga kolaborasi bersama Kak Ayu – seorang penyanyi yang mempunyai identiti vokal tersendiri. Proses penciptaan sangat lancar; demo siap dalam sehari, dan keseluruhan lagu dalam dua minggu,” ujar Emeer.
Bagi Ayu Damit, yang kini tampil dengan single keempat di bawah label Alternate Records & Talents, kolaborasi ini amat istimewa. Beliau menyifatkan kerjasama dengan Emeer sebagai serasi dan menyenangkan, malah proses rakaman disempurnakan hanya dalam dua sesi.
“Lagu ini memberi ruang untuk saya benar-benar menghayati bait lirik yang menyentuh perasaan. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi luahan yang cukup dalam,” kata Ayu.
Drama Calon Isteri Buat Suami, yang mula bersiaran pada 8 April lalu, segera mencuri tumpuan penonton dengan kisah cinta yang rumit antara watak Nazim dan Haizi. Lirik lagu Cukup Kita turut diilhamkan daripada naratif drama ini, menjadikannya lebih bermakna bagi mereka yang mengikuti konflik emosi antara pasangan utama tersebut.
Kini, lagu Cukup Kita boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube, dan lain-lain. Manakala drama Calon Isteri Buat Suami ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3, dibintangi oleh Siti Hariesa, Jazmy Juma, dan Trisha Ooi.
Untuk mengikuti perkembangan terkini Ayu Damit, Emeer Bakri serta label Alternate Records & Talents, layari laman sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).