#KisahKariKu: Inovasi dan Tradisi dalam Setiap Sudu Kari

#KisahKariKu

Kempen #KisahKariKu, anjuran bersama portal masakan terkemuka RASA dan jenama rempah premium BABA’s, telah mencatatkan kejayaan besar apabila enam finalis terpilih untuk berentap dalam Pertandingan Akhir Memasak #KisahKariKu di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Acara kemuncak ini yang berlangsung pada 25 November 2024, bukan sahaja merayakan masakan kari, tetapi juga memaparkan kisah-kisah penuh inspirasi di sebalik resipi yang memupuk semangat kekeluargaan, kreativiti, dan warisan budaya Malaysia.

Kempen #KisahKariKu yang bermula pada 26 Ogos hingga 31 Oktober 2024, bertujuan untuk memperkenalkan dan mengangkat masakan kari ke tahap yang lebih kreatif, dengan lebih 230 penyertaan yang diterima dari seluruh negara. Finalis terpilih telah diberikan cabaran untuk menunjukkan kepakaran mereka dalam memasak menggunakan produk BABA’s yang dikenali ramai sebagai simbol rempah berkualiti.

Acara akhir ini dimulakan dengan aktiviti menarik yang mengintegrasikan rempah BABA’s ke dalam setiap resipi yang disediakan oleh para peserta. Dalam masa 45 minit, finalis ditugaskan untuk memasak hidangan kari istimewa mereka secara langsung, di mana hasil masakan mereka akan dinilai oleh panel juri profesional yang terdiri daripada Puan Susi Emmarini Masri, Ketua Unit Bisnes Jenama Masakan & Dekorasi RASA, dan Tuan Haji Azrain Mohamad, Ketua Pemasaran BABA’s.

Setelah pertempuran sengit, Rozelinda binti Mustapa diumumkan sebagai juara dengan masakan Kari Ketam ‘Indian Style’ Nandu Kari. Kejayaan beliau tidak hanya terletak pada rasa kari yang memukau, tetapi juga pada kisah unik di sebalik resipi yang dibawanya. Rozelinda menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 atas pencapaiannya.

Antara peserta lain yang turut cemerlang ialah Mohd Hilmi Bin Mohamad Alias Ahmad yang meraih naib juara dengan resipi Gulai Kari Pisang Muda Ikan Bilis, serta Siti Mahirah binti Awang yang berjaya membawa pulang tempat ketiga dengan Kari Ikan Kerapu. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,500. Selain itu, tiga lagi finalis—Norhaslina binti Dzulkifli, Nurul Husna binti Zainal Abidin, dan Aziatul Fasihah binti Mohd Roslan—mendapat hadiah wang tunai RM500 sebagai penghargaan atas usaha keras mereka dalam mencapai tahap akhir pertandingan.

Kempen ini juga memberi pengiktirafan kepada 20 peserta terpilih yang menerima hadiah saguhati sebanyak RM200 setiap seorang, sebagai penghargaan terhadap kreativiti mereka dalam menyumbang kepada perkembangan masakan kari di Malaysia.

Dalam ucapannya, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, menekankan pentingnya kempen ini dalam memperkasa komuniti dengan memberikan platform untuk berkongsi kisah mereka. “Kami mahu RASA menjadi lebih daripada sekadar penerbit resipi. Kami ingin menjadi penerbit harapan dan inspirasi, serta menghubungkan setiap orang dengan akar budaya mereka melalui masakan,” katanya.

Tuan Haji Azrain Mohamad dari BABA’s pula menegaskan bahawa kempen ini menunjukkan bagaimana produk BABA’s tidak hanya digunakan dalam masakan, tetapi juga menghidupkan kenangan dan cerita budaya yang melibatkan masyarakat. Beliau berkata, “BABA’s terus mengukuhkan posisinya sebagai jenama rempah pilihan, menyatukan budaya, dan menghidupkan semangat inovasi dan kreativiti di dapur setiap peserta.”

Kempen #KisahKariKu juga membuka mata masyarakat tentang potensi kari sebagai hidangan yang boleh diteroka dengan cara yang lebih kreatif. Dari kari ketam yang diolah mengikut gaya India, hingga gulai pisang ikan bilis, para peserta menunjukkan bahawa kari bukan hanya sekadar hidangan popular, tetapi juga karya seni yang terus berkembang. Sebagai jenama yang mendekati komuniti, RASA dan BABA’s terus berusaha untuk memberi inspirasi kepada masyarakat dengan mengangkat kepelbagaian masakan Malaysia.

Acara kemuncak ini juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, termasuk sesi bergambar, hiburan, dan peluang untuk memenangi barangan eksklusif RASA. Ini sekaligus menjadikan kempen #KisahKariKu sebagai platform yang bukan sahaja merayakan masakan Malaysia, tetapi juga memperkukuhkan ikatan antara budaya, keluarga, dan warisan masakan yang kaya.