Astro, sebagai peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia, terus memperkukuh komitmennya dalam mencungkil serta mengangkat bakat tempatan melalui penganjuran musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Menampilkan pendekatan yang lebih segar dan inklusif, program ini bakal bersiaran bermula 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Selepas kejayaan penganjuran semula pada tahun 2024, musim kali ini hadir dengan beberapa pembaharuan penting termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun. Langkah ini diambil bagi memberi peluang lebih luas kepada bakat baharu dalam kalangan generasi otai. Format program turut ditambah baik dengan penglibatan juri awam yang terdiri daripada wartawan serta pelanggan setia Astro, selain pendekatan penceritaan yang lebih menyentuh emosi. Kilauan Emas sekali lagi menjadi platform utama untuk golongan otai menyerlahkan potensi mereka.
Sesi uji bakat yang berlangsung pada Mei dan Jun lalu di Miri, Johor dan Shah Alam menerima sambutan luar biasa dengan lebih 500 penyertaan daripada individu pelbagai latar belakang. Selain bakat vokal, peserta turut mempamerkan keunikan dalam bidang lain seperti lakonan dan tarian, sekali gus menonjolkan kepelbagaian seni yang diketengahkan.
Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, musim ini memperlihatkan penambahbaikan besar dari segi kriteria penyertaan dan format produksi. Beliau menegaskan bahawa Kilauan Emas bukan sekadar program hiburan, tetapi sebuah medium yang menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi bersama. Katanya lagi, Astro turut berbesar hati melihat penyertaan daripada individu yang datang daripada keluarga seni, membuktikan bahawa semangat dan minat dalam bidang seni tidak pernah luntur malah diwarisi dari generasi ke generasi.
Musim 2025 bakal menampilkan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun iaitu Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Setiap peserta membawa kekuatan tersendiri dalam usaha merebut gelaran juara.

Program ini akan dikendalikan oleh personaliti popular Elly Mazlein sebagai hos utama bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri pula mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira, yang akan bergandingan bersama pelawak Roy Azman serta penyanyi bersuara emas Ning Baizura sebagai juri terbaharu. Musim kali ini juga memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos segmen Spotlight yang akan menyiarkan pelbagai info menarik selepas konsert berlangsung, bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima. Selain itu, Keanu Azman dan Sarah Karmila akan mengendalikan segmen Live+.
Kilauan Emas 2025 boleh distrim secara fleksibel melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka. Persembahan peserta akan diadili dengan sistem penjurian yang terdiri daripada 70 peratus markah juri profesional, 20 peratus markah juri awam dan 10 peratus undian penonton di rumah. Juara musim ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi sumbangan Astro. Penonton turut boleh mengundi peserta kegemaran mereka secara dalam talian di laman web Astro Gempak.
Penerbitan Kilauan Emas 2025 diperkaya dengan kerjasama digital bersama Astro Gempak serta rakan radio rasmi SINAR dan GEGAR. Konsert mingguan akan berlangsung secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam selama lapan minggu bermula 16 Ogos 2025. Selain itu, Diari Kilauan Emas 2025 yang menampilkan sorotan persediaan peserta akan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat mulai 11 Ogos pada jam 11.30 malam, manakala kapsul profil peserta akan disiarkan mulai 5 Ogos pada setiap Selasa hingga Jumaat, jam 3 petang.
Dengan wajah baharu, format lebih inklusif dan barisan peserta yang penuh semangat, Kilauan Emas 2025 sekali lagi bersedia mencipta momen berharga untuk penonton sambil mengangkat martabat bakat otai tanah air.