Khai Bahar kembali dengan sebuah balada penuh penghayatan berjudul “Beri Sedikit Waktu”, ciptaan Adi Pawana dan Rudy Nastia, terbitan Sony Music Malaysia. Lagu ini membawa mesej mendalam tentang keperluan memberi ruang kepada diri sendiri untuk sembuh daripada kesedihan sama ada kerana kehilangan, tekanan atau pergelutan jiwa yang tersembunyi.
Mengulas pemilihan lagu ini, Khai mengakui terus tertarik sebaik mendengar demo. “Lagu ini kena dengan fasa hidup saya ketika ini… kehilangan ibu bukan sesuatu yang mudah. Tapi lagu ini buat saya rasa didengari, dan saya mahu ia juga memberi kekuatan kepada orang lain,” luah Khai dengan penuh emosi.
Bait lirik seperti “Kau bukannya menyerah, hanya bersandar seketika” menonjolkan inti pati lagu ini menyentuh isu kesihatan mental dengan lembut dan empati. Dengan susunan muzik minimalis dan nyanyian penuh kejujuran, “Beri Sedikit Waktu” diangkat sebagai lagu “healing” yang dekat di hati pendengar.

Proses rakaman lagu ini berlangsung di Mixbro Records, Cybersouth, dan mengambil masa dua jam. Namun bagi Khai, ia merupakan pengalaman rakaman yang cukup mencabar secara emosi. “Saya bayangkan arwah ibu sepanjang rakaman. Beberapa kali saya berhenti kerana terlalu sebak. Tapi saya tahu saya perlu teruskan.”
MV rasmi “Beri Sedikit Waktu” pula memaparkan perjalanan simbolik dari kesedihan menuju harapan, menzahirkan mesej bahawa setiap luka mampu pulih dengan masa. Khai sendiri terlibat dalam konsep video ini, menekankan bahawa setiap insan berhak untuk berehat dan sembuh mengikut rentak masing-masing.
Lebih daripada sekadar lagu, “Beri Sedikit Waktu” adalah penghormatan Khai buat ibunya, serta hadiah buat mereka yang sedang bergelut dalam diam. “Kalau lagu ini dapat beri sedikit rasa lega atau buat seseorang rasa tidak keseorangan, itu dah cukup bermakna bagi saya,” ujarnya.
Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Tonton MV rasmi di saluran YouTube Sony Music Malaysia (sonymusicMYVEVO). – Tehtariktimes