Khadam Tampil Dengan Teaser Pertama, Angkat Kisah Saka Penuh Emosi

Red Communications dengan kerjasama Komet Productions memperkenalkan teaser pertama bagi filem seram dramatik arahan Shamyl Othman berjudul Khadam. Filem ini dijangka menyentuh emosi penonton menerusi penceritaan yang padat, disokong lakonan penuh penghayatan serta visual sinematik yang memukau.

Mengangkat tema saka dengan tagline “Jangan Sampai Jadi Tuan”, Khadam membawa peringatan bahawa sesuatu yang pada awalnya dianggap sebagai pembantu akhirnya mampu menjadi kuasa yang mengawal. Dalam kepercayaan masyarakat tempatan, khadam merujuk kepada makhluk halus atau jin yang mendampingi pemiliknya dan diwarisi secara turun-temurun.

Teaser berdurasi 60 saat yang dilancarkan hari ini memberi gambaran awal dunia Khadam. Ia memaparkan kehidupan sebuah keluarga yang pada mulanya tenang sebelum perlahan-lahan berubah apabila satu entiti mula mempengaruhi dan menguasai kehidupan mereka.

Penerbit Eksekutif Lina Tan menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan gabungan tenaga kreatif di sebalik filem ini, khususnya Shamyl sebagai pengarah serta Fariza Azlina Isahak sebagai penulis skrip. Menurutnya, Shamyl mempunyai visi yang jelas untuk membentuk dunia Khadam, manakala Fariza tampil dengan naskhah yang lebih berani dan sarat emosi dengan perkembangan konflik yang tidak dijangka.

Pengarah Shamyl Othman menjelaskan bahawa filem ini bukan bertujuan mempromosikan saka, sebaliknya menonjolkan akibat dan tanggungjawab yang datang bersamanya. Katanya, saka dalam Khadam digambarkan sebagai gangguan yang perlahan-lahan mengambil ruang dalam diri seseorang sehingga mereka sendiri tidak lagi pasti tentang identiti dan apa yang menguasai diri mereka.

Dari sudut lakonan, Shamyl menekankan kepentingan pemilihan pelakon yang mampu membawa emosi secara jujur dan kompleks. Setiap watak memerlukan keseimbangan halus antara apa yang dipaparkan secara luaran dan konflik dalaman yang tersembunyi.

Filem ini menampilkan Aghniny Haque dari Indonesia sebagai Melor, seorang wanita yang tampak tenang tetapi menyimpan rahsia mendalam. Beliau digandingkan bersama Datuk Remy Ishak sebagai Awang, selain turut dibintangi Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaf, Karl El dan kemunculan istimewa Jun Lojong.

Menurut Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar, kekuatan Khadam terletak pada keseimbangan antara penceritaan, lakonan dan visual sinematik yang saling melengkapi. Teaser yang ditampilkan hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan karya, namun cukup untuk memberi bayangan terhadap kekuatan visual filem ini.