KERAMAT GUNUNG JERAI MEMBONGKAR MISTERI DI SEBALIK RITUAL TERLARANG

Persoalan tentang sejauh mana manusia sanggup mengorbankan segalanya demi mengejar impian bakal diteroka menerusi filem psikologi seram (supernatural horror) terbaharu, Keramat Gunung Jerai, yang akan menemui penonton secara eksklusif di platform Tonton bermula 8 Julai 2026.

Menampilkan kisah penuh misteri, penyesalan dan akibat daripada pilihan masa lalu, filem ini mengangkat tema persahabatan yang diuji apabila tiga sahabat nekad melakukan ritual terlarang demi mendapatkan kejayaan yang diimpikan. Namun, keinginan mereka untuk mengubah nasib membawa kepada satu sumpahan yang mengubah kehidupan mereka buat selama-lamanya.

Dibintangi oleh Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Sara Ali, Keramat Gunung Jerai merupakan arahan sulung Luqman Hafidz serta terbitan Lumatic Films, syarikat produksi yang terkenal menerusi karya seperti BRU, Imaginur dan Terbaik Dari Langit. Filem ini menggabungkan elemen seram supernatural dengan konflik emosi, hubungan kekeluargaan dan persoalan moral.

Kisah bermula apabila Hakim, Junaidi dan Wan mendaki Gunung Jerai untuk mencari sebuah batu misteri yang dikatakan mampu menunaikan segala keinginan manusia. Selepas ritual tersebut dilakukan, kejayaan mula hadir dengan mudah, namun mereka tidak menyedari bahawa setiap permintaan mempunyai harga yang perlu dibayar.

Bertahun kemudian, apabila anak perempuan Hakim, Laila, diserang penyakit misteri yang sukar dijelaskan, Hakim terpaksa kembali ke Gunung Jerai bersama Junaidi untuk mencari jawapan dan membetulkan kesilapan masa lalu. Namun, pencarian mereka membuka kembali rahsia gelap yang selama ini tersembunyi serta mendedahkan ancaman daripada kuasa mistik yang semakin sukar dikawal.

Lebih istimewa, Keramat Gunung Jerai turut mencipta sejarah sebagai Tonton Originals pertama yang ditawarkan menerusi model Pay-Per-View (PPV) atau Transactional Video on Demand (TVOD) dengan harga RM12. Sebagai kandungan PPV kedua di platform Tonton selepas Fury Championship Vol. 2, filem ini membuka pengalaman baharu kepada penonton untuk menikmati karya tempatan berkualiti secara eksklusif.