Kembali dengan Kekuatan Spiritual, NEON TAK Mengubah Suasana Muzik

Kumpulan muzik rock alternatif NEON baru-baru ini melancarkan single terbaru mereka yang berjudul “Biar”. Lagu ini menonjolkan tema kesedaran diri dan keinsafan dalam aliran rock moden yang penuh emosi. “Biar” juga menjadi penanda aras pertama NEON dalam penghasilan karya, membuka peluang untuk lebih banyak lagu yang bakal hadir pada masa depan.

Ditubuhkan pada 2017, NEON terdiri daripada enam ahli iaitu Boy (vokalis), Naim Sapuan, Shafique Shariff, Adam Svl, Azuad Abdullah, dan Danial Firdaus. Kumpulan ini terkenal dengan gabungan elemen-elemen pop, balada, jazz, dan eksperimental dalam muzik rock alternatif mereka. NEON beraspirasi untuk menghasil muzik yang menggabungkan unsur moden dan alternatif, memberikan pengalaman baharu kepada pendengar.

Lagu pertama mereka, “Cinta Yang Telah Mati”, yang dihasilkan oleh KR bersama komposer terkenal Ippo Hafiz, mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya menembusi Top 10 carta radio tempatan dan meraih lebih dari 1.1 juta tontonan di YouTube dengan sambutan positif daripada peminat.

“Biar” mengisahkan tentang cinta yang terindah, namun hancur akibat kesilapan diri sendiri. Rasa bersalah yang mendalam menyebabkan hati yang terluka terus dihantui penyesalan. Namun, jiwa yang terluka ini kembali mencari jalan kepada Tuhan, menyedari bahawa selama ini ia lebih fokus pada cinta manusia, tanpa menyedari betapa pentingnya mencari kasih Ilahi. Dengan lirik yang mendalam dan menyentuh, “Biar” lebih daripada sekadar kisah cinta; ia adalah refleksi jiwa seorang hamba kepada Tuhan.

Adam, salah seorang anggota NEON, berkongsi kegembiraannya tentang lagu ini, “Biar adalah lagu yang agak berat, namun sangat dekat dengan karakter muzik NEON. Kami banyak bereksperimen dalam penghasilan lagu ini, dan itulah sebabnya proses rakaman mengambil masa lebih dua bulan. Kami menghadapi cabaran untuk mengumpulkan semua ahli kerana masing-masing sibuk dengan komitmen peribadi, tetapi segala usaha yang kami lakukan menjadikan kejayaan lagu ini sangat bermakna.”

Adam turut menambah, “Salah satu cabaran besar adalah memahami maksud lagu ini dengan mendalam, serta menyampaikan mood dan perasaan yang tepat. Lagu ini bukan sekadar mengenai vokal, tetapi melibatkan setiap elemen muzik, seni sampul, dan video muzik yang harus serasi dengan keseluruhan tema.”

Boy, komposer, penulis lirik, dan vokalis bagi NEON, turut berkongsi perasaan tentang lagu ini, “Tiga kata kunci yang menggambarkan kumpulan kami ialah Neon, Bold, dan Revolution. Setiap daripada kami mempunyai kekuatan tersendiri yang mempermudahkan proses penciptaan lagu. Bagi saya, “Biar” adalah karya yang sangat sentimental kerana terinspirasi daripada pengalaman hidup saya sendiri.”

Dengan usaha yang sepenuhnya daripada NEON, pendengar disarankan untuk tidak terlepas peluang mendengarkan “Biar”, sebuah pengalaman muzik dan lirik yang berbeza daripada karya-karya NEON sebelumnya.

Adam mengakhiri dengan harapan, “Kami berharap “Biar” akan menarik lebih ramai pendengar muzik baru, sambil memberikan karya yang lebih segar dan moden kepada peminat muzik di Malaysia. Kami juga berazam untuk memperkenalkan karya seni tempatan ke peringkat antarabangsa, terutamanya di Singapura, Brunei, dan Indonesia.” “Lagu “Biar” juga adalah single pertama kami di bawah naungan Alternate Records, dan kami berharap lebih banyak projek bersama selepas ini,” tambahnya.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengarkan lagu “Biar” oleh NEON sekarang, yang boleh didapati di iTunes atau melalui platform strim seperti Spotify dan YouTube Music!

Untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi mereka di media sosial melalui Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.