Kekal Aktif, Sihat & Kuat, Tips Gaya Hidup Wanita Moden 2025

Tahun 2025 menandakan masa terbaik untuk wanita menilai semula tahap kesihatan mereka. Menurut Vipada Sae-Lao, wanita sering menggalas pelbagai peranan hingga mudah terdedah kepada tekanan kronik yang memberi kesan kepada sistem imun, hormon, tidur dan kesihatan mental. Tekanan berpanjangan juga meningkatkan risiko penyakit seperti gangguan autoimun, penyakit jantung, demensia dan sarkopenia.

Vipada Sae-Lao, Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan – Asia Pasifik, Herbalife.

Penyakit kardiovaskular (CVD) merupakan antara punca kematian tertinggi dalam kalangan wanita Asia. Ramai tidak menyedari mereka berisiko kerana simptom sering tidak ketara. Pemeriksaan berkala terhadap tekanan darah, kolesterol, berat badan dan tahap gula amat penting. Senaman, pemakanan seimbang dan pengurusan stres seperti meditasi membantu menyokong fungsi jantung. Amalan pemakanan seperti buah, sayur, ikan berlemak dan kekacang kaya omega-3 juga penting untuk menjaga kesihatan jantung.

Perubahan hormon sepanjang kitaran hidup wanita boleh membawa kepada masalah seperti haid tidak teratur dan perubahan emosi. Zat besi memainkan peranan penting dalam keseimbangan hormon kerana ia membantu pembentukan hemoglobin. Oleh itu, wanita perlu pastikan pengambilan zat besi mencukupi melalui makanan seperti sayur hijau tempatan termasuk kangkung dan peria. Sokongan gaya hidup sihat dan pemeriksaan berkala juga penting bagi mengurus ketidakseimbangan hormon.

Amalkan pemakanan seimbang dan sihat untuk kesejahteraan jangka panjang.

Penuaan boleh menyebabkan kehilangan otot (sarkopenia) dan tulang rapuh (osteoporosis). Ini meningkatkan risiko jatuh dan patah tulang, terutama pinggul. Wanita lebih berisiko disebabkan perubahan hormon selepas menopaus. Senaman seperti aerobik dan latihan rintangan dapat membantu mengekalkan otot dan ketumpatan tulang. Pengambilan protein secukupnya sekurang-kurangnya 1.0 hingga 1.2 gram per kilogram berat badan bersama kalsium dan vitamin D juga penting. Makanan seperti sayur hijau, tauhu, susu dan ikan berlemak sangat membantu.

Akhir sekali, sokongan sosial melalui aktiviti fizikal berkumpulan seperti kelas kecergasan atau berjalan secara berkumpulan boleh tingkatkan motivasi dan kesihatan mental. Ia bantu kurangkan rasa kesunyian, membina semangat komuniti dan kekal konsisten dalam menjaga diri.

Wanita perlu diberdayakan dengan ilmu dan akses kepada penjagaan kesihatan yang sesuai. Dengan mengutamakan penjagaan diri dan kekal konsisten dalam gaya hidup sihat, wanita dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, bukan sekadar untuk hari ini tetapi untuk masa hadapan. – Tehtariktimes