
Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) terus mengorak langkah agresif dalam industri emas apabila menyasarkan pembukaan sehingga 30 cawangan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menurut Ahli Lembaga Pengarahnya, Shaaini Md Jumaat, pembukaan cawangan ke-16 di Bandar Baru Bangi mencerminkan komitmen syarikat untuk mendekati pelanggan serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap emas sebagai aset pelaburan dan simpanan.

Beliau berkata, Bandar Baru Bangi dipilih kerana mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi selain masyarakatnya yang semakin peka terhadap kepentingan memiliki emas untuk masa depan.
Katanya lagi, pembukaan cawangan tersebut turut memberi kemudahan kepada pelanggan dari negeri-negeri berhampiran yang sebelum ini perlu melakukan perjalanan lebih jauh untuk mendapatkan perkhidmatan syarikat.

Bersempena pembukaan itu, KESS menawarkan potongan harga RM20 bagi setiap gram emas selain menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta.
Prestasi syarikat juga menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat peningkatan pendapatan melebihi 60 peratus berbanding tahun sebelumnya, hasil pertambahan rangkaian cawangan yang berjaya menarik lebih ramai pelanggan.










