Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Zon Tengah Bakal Meriahkan Melaka

Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Zon Tengah yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Mydin MITC Melaka.

Karnival anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi memperkukuhkan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi yang memberi ruang kepada individu yang berdepan masalah kewangan untuk membina semula kehidupan mereka.

Majlis perasmian rasmi karnival akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 31 Julai 2026, jam 11.00 pagi.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan disediakan kepada pengunjung termasuk khidmat konsultasi dan nasihat berkaitan kebankrapan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, semakan status kebankrapan serta penerangan mengenai proses pelepasan kebankrapan.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat melalui pameran dan perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik, selain menyertai program kesedaran kewangan dan literasi pengurusan hutang.

Turut menjadi tarikan ialah lelongan aset, kenderaan dan hartanah yang bermula serendah RM10.

Selain itu, pelbagai aktiviti mesra keluarga, pesta makanan, pertandingan rakyat dan cabutan bertuah turut diadakan sepanjang karnival.

Orang ramai juga boleh menikmati Jualan Rahmah serta Jualan Murah Shopee yang menawarkan pelbagai barangan pada harga berpatutan.

Bagi memeriahkan suasana, persembahan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Hattan, Tomok, Baby Shima, Azlan Typewriter dan beberapa artis lain akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut.

Penganjuran karnival ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat serta perkhidmatan kerajaan, malah menggabungkan elemen pendidikan, hiburan dan kesejahteraan masyarakat.

Melalui penganjuran ini, Jabatan Insolvensi Malaysia berharap dapat mendekatkan perkhidmatannya kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran mengenai Dasar Peluang Kedua serta mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah berdepan isu kebankrapan.

Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Zon Tengah akan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 malam di Mydin MITC Melaka.

Dengan tema “Peluang Kedua, Harapan Baharu”, orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan, maklumat serta menikmati aktiviti menarik yang disediakan sepanjang karnival.