Sebuah festival muzik yang segar dan penuh jiwa bakal menghiasi hujung minggu warga kota pada 17 Ogos ini. Dikenali sebagai Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025, festival ini menjanjikan pengalaman luar biasa menerusi gabungan muzik, emosi dan perkongsian inspiratif dari dua nama besar Indonesia – Tulus dan Juicy Luicy – yang akan membuat persembahan istimewa di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
RIF 2025 adalah hasil kerjasama antara Expoindo dan penganjur tempatan Thrive, yang membawa pendekatan baharu dalam dunia hiburan. Tidak sekadar hiburan semata-mata, festival ini menjadi platform untuk menyemai inspirasi serta memperkukuh semangat komuniti melalui kekuatan muzik.
Menurut wakil Expoindo, Bram Tulong, pemilihan nama “Ruang Inspirasi” melambangkan misi mereka untuk menjadikan muzik sebagai alat menyentuh jiwa dan menyampaikan mesej positif. “Kami mahu festival ini menjadi sesuatu yang berbeza – bukan hanya konsert, tetapi ruang untuk memberi semangat dan menyentuh hati,” jelas beliau.
Menariknya, Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif popular dari Indonesia, diumumkan sebagai artis fasa pertama dan akan menghiburkan peminat pada sesi malam bermula 7.30 malam. Lagu-lagu hits seperti Lantas, Lampu Kuning, dan Sialan menjadikan kumpulan ini kegemaran ramai, khususnya generasi muda yang dekat dengan lirik penuh emosi mereka.
Sementara itu, penyanyi tersohor Indonesia, Tulus, diumumkan sebagai artis fasa kedua pada 16 Julai lalu. Beliau bakal membuka pentas RIF 2025 dengan persembahan khas pada sesi petang bermula 1.30 tengah hari. Dengan suara yang mendalam dan mesej lagu yang menyentuh, kehadiran Tulus pastinya menjadi sorotan utama festival ini.
RIF 2025 akan berlangsung dalam dua sesi berbeza – petang dan malam – dalam satu hari yang sama, menjadikan ia festival padat dan eksklusif untuk peminat muzik. Tiket bagi sesi petang (Tulus) telah mula dijual pada 17 Julai 2025 dan boleh didapati menerusi aplikasi BBO EVENTS atau laman rasmi www.ri-fest.com/kualalumpur.
Tawaran tiket adalah seperti berikut:
- VVIP: RM1,028
- VIP: RM628
- Gold: RM458
- Platinum: RM318
- Silver: RM268
Bagi pembeli tiket persembahan Juicy Luicy, anda boleh membuat naik taraf (upgrade) untuk akses penuh dengan harga istimewa melalui aplikasi BBO EVENTS.
Lebih daripada sekadar hiburan, RIF 2025 merupakan usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab inspirasi serantau. Malah, Expoindo merancang untuk memperluaskan festival ini ke bandar-bandar utama lain di Malaysia bagi merapatkan hubungan industri muzik Malaysia-Indonesia dan menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.
Wakil BBO Events, Johnathon Wong, menegaskan bahawa misi utama mereka adalah menjadikan RIF sebagai jambatan budaya yang menghubungkan pemuzik serantau dan komuniti peminat melalui persembahan yang tulus dan menyentuh perasaan.
Untuk info dan kemas kini terkini, peminat disarankan mengikuti akaun media sosial rasmi RIF di Instagram dan TikTok: @rifest.my.
RIF 2025 — Satu hari, dua pengalaman luar biasa. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival yang bakal menginspirasi ribuan jiwa!