JUALAN RAHMAH HARI RAYA 99 SPEEDMART : BARANGAN ASAS PADA HARGA MAMPU MILIK

Majlis Pelancaran Jualan RAHMAH bersama 99 Speed ​​Mart Sdn Bhd telah dijalankan di 99 Speed ​​Mart Cawangan Bukit Jalil di Kuala Lumpur hari ini, dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pelaksanaan Inisiatif Payung RAHMAH di seluruh 2,300 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara ini meliputi aktiviti Jualan RAHMAH yang dijalankan selama sebulan mulai 23 Mac 2023 sehingga 22 April 2023. Jualan ini melibatkan sebanyak 150 pelbagai produk barangan asas dan perlu seperti beras, susu tin, air minuman, ketupat mini, kordial, barangan pencuci, mentega, biksut raya dan sebagainya yang masing-masing ditawarkan pada harga yang lebih rendah sehingga 40% berbanding harga jualan murah sedia ada.

KPDN melihat tambahan diskaun di bawah Jualan RAHMAH yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart ini sebagai tawaran yang amat berbaloi, berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia, seiring dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas. Seterusnya, Jualan RAHMAH ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal menjelang.

Di bawah Inisiatif Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga. Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *