Warga Bumi Kenyalang sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak melabuhkan tirainya dengan penuh meriah selepas tiga hari berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya dari 5 hingga 7 September 2025. Kehadiran ratusan ribu pengunjung mengesahkan bahawa KJH kekal sebagai karnival pilihan keluarga nombor satu di Malaysia.
Lebih daripada sekadar karnival hiburan, KJH Sarawak menjadi wadah pertemuan masyarakat merentasi budaya, generasi dan kaum. Suasana penuh warna-warni diperkaya dengan aktiviti interaktif, pameran unik serta pelbagai hiburan mesra keluarga yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berinformasi.
Kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut menyerikan acara ini. Kehadiran YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Datuk Mohd Efendi Omar pada hari pertama menambah kemeriahan, manakala penglibatan agensi MTCP seperti Jabatan Muzium, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, BeSarawak, Majlis Kraf Sarawak dan Kementerian Belia, Sukan serta Pembangunan Usahawan Sarawak membuka ruang kepada pengunjung untuk lebih mengenali keunikan destinasi dan budaya tempatan.

Bersempena Maulidur Rasul 1447H, malam pembukaan diwarnai dengan program keagamaan “Sembang Santai” di pentas utama. Sesi ini menyorot keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan ummah dengan perkongsian ilmu daripada Ts. Syahrul Nizam Junaini serta Ustaz Haji Mual Haji Suaud.
Sepanjang tiga hari, lebih 100 reruai dibuka dengan tawaran aktiviti gaya hidup, kesihatan, hiburan dan sukan. Antara tarikan utama ialah Zumba, bola sepak jalanan, NSTP Car Sim Experience, Spin Fighters Challenge, Pencarian Emcee Cilik, sukan memanah, serta pemeriksaan kesihatan gigi dan saringan kanser serviks percuma.
Dari sudut ekonomi, KJH Sarawak memberi impak lebih RM15 juta dalam tempoh tiga hari melalui penjualan produk, hadiah eksklusif dan promosi istimewa. Antara jenama tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian termasuk F&N, Kewpie, Affin Bank, Szindore Perfume, SUPER dan Zus Coffee.
Sementara itu, Studio Tonton Drama Sangat menjadi lokasi tumpuan peminat yang berpeluang bertemu selebriti popular seperti Mior Abdul Malik, Farah Nabilah, Naz Habibur Rahman, Fatin Hamimah dan ramai lagi. Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat turut mencuri perhatian apabila Axiomara Tijan Andy, 19 tahun, dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM1,000.
Acara ini mencapai kemuncaknya dengan Konsert Jom Heboh yang dibawakan oleh U Mobile. Dua malam berturut-turut pentas dihangatkan oleh artis terkenal tanah air seperti Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Aishah, Floor 88, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Amir Jahari. Walaupun hujan turun pada malam pertama, semangat penonton tetap membara sehingga ada yang sanggup menunggu sejak awal petang untuk menyaksikan persembahan idola mereka.
Selepas kejayaan di Kuching, karnival ini bakal meneruskan siri jelajahnya ke Pulau Pinang. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman rasmi www.jomheboh.com.my atau ikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram. Jangan lupa kongsikan pengalaman anda dengan tanda pagar rasmi #KarnivalJomHeboh #KJH.