Joey Daud Gegar Industri dengan ‘WamWamSam’!

joey daud, WAMWAMSAM joey daud, WAMWAMSAM

Selepas mencuri perhatian ramai menerusi watak ikonik Daud M dalam filem terakhir Allahyarham Mamat Khalid, Joey Daud kini kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharunya bertajuk Wamwamsam, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei 2025.

Wamwamsam bukan sekadar sebuah lagu biasa. Ia merupakan karya komedi pop rock eksperimental yang penuh warna-warni, jenaka dan makna mendalam. Menyingkap tema wawasan dan pendidikan sebagai teras pembentukan diri dan masa depan, lagu ini menggabungkan irama rancak dengan lirik sinikal yang menggelitik hati, namun membawa mesej kuat untuk semua lapisan masyarakat dari pelajar sekolah rendah hinggalah ke pembuat dasar negara.

Joey Daud bukan nama asing dalam dunia seni tanah air. Seperti lagu legasi “Sirih Pulang Ke Gagang”, Joey adalah artis rakaman pertama yang pernah ditandatangani oleh Dato’ M.Nasir pada tahun 1994 di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd. Jadi, apabila kolaborasi ini dijalankan pada tahun 2025, Luncai Emas tidak teragak-agak untuk merealisasikan projek yang dinanti-nantikan ini.

Lagu hasil ciptaan Joey Daud ini turut diperkaya dengan sentuhan barisan komposer muda berbakat Ilham Nasir dan Hidayat Nasir yang membawa nafas baharu melalui susunan muzik pop yang berani dan unik. “Lagu ini saya hasilkan dari pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata ia adalah panduan hidup. Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” ujar Joey dalam satu temubual.

Menambah dimensi kebangsaan dan inklusif, lagu ini juga menampilkan segmen rap khas oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah, Isohbatos. Gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang dibawakan A.D menambah elemen segar dan unik, sekaligus menghubungkan pasaran muzik dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak. Joey menegaskan, “Bukan lagu untuk satu kawasan saja ini lagu seluruh Malaysia. Bila A.D masuk studio dan bawa gaya dia yang tersendiri, kami tahu lagu ni akan jadi sesuatu yang luar biasa.”

Tidak cukup dengan itu, pelancaran Wamwamsam turut dimeriahkan dengan video muzik rasmi yang dihasilkan dalam konsep sinematik ala filem pendek. Video ini juga menjadi teaser eksklusif kepada filem yang sedang dibangunkan berjudul Daud M, susulan kisah watak popular yang dibawa Joey sebelum ini. Filem dan video muzik ini diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, yang mewarisi sentuhan magis ayahandanya dalam mengolah cerita rakyat dengan gaya lucu, sinikal dan penuh nilai.

Video muzik Wamwamsam membawa penonton menyusuri kisah seorang pelajar kampung berwawasan tinggi yang berjuang menentang masyarakat statik dan kekangan sistemik demi menuntut ilmu dan perubahan. Diperkaya dengan visual dramatik, suasana sekolah retro, guru-guru eksentrik, dan sindiran sosial tajam, karya ini pasti mengundang tawa, air mata, dan perenungan.

Dengan Wamwamsam, Joey Daud sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelakon, pelawak, dan penyanyi yang mampu menggabungkan hiburan dengan mesej sosial yang bermakna. Nantikan pelancaran rasmi single ini pada 20 Mei 2025 sebuah karya yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga mengajak kita semua merenung dan bergerak maju.