Ada yang memilih untuk hidup dengan wajah sebenar, ada juga yang terpaksa bersembunyi di sebalik penyamaran. Dalam dunia yang penuh dengan rahsia dan pengkhianatan, kekuatan bukan lagi satu pilihan, tetapi menjadi jalan tunggal untuk bertahan. Itulah yang cuba dibongkar dalam Ms. Incognito, sebuah drama baharu yang bakal menemui penonton di Malaysia serentak dengan tayangan di Korea bermula 29 September 2025, eksklusif hanya di Tonton.
Dibarisi pelakon hebat seperti Jeon Yeo-been, Jin-young, Seo Hyun-woo, Jang Yoon-joo dan Joo Hyung-young, drama ini mengetengahkan kisah Bu Se-mi (lakonan Jeon Yeo-been), seorang wanita yang menjalani perkahwinan kontrak dan hidup dalam penyamaran demi menjaga rahsia serta harta milik majikannya. Namun, hidup yang penuh kawalan itu mula bergoncang apabila kemunculan Choi Dong-min (Jin-young), seorang lelaki jujur yang secara tidak sengaja menjadi ancaman terbesar terhadap identiti serta rahsia yang disimpannya.
Pertemuan mereka membawa kepada hubungan yang semakin rapat, tetapi rasa percaya yang terjalin mula goyah apabila rahsia terbongkar sedikit demi sedikit. Jalan cerita dipenuhi konflik emosi, pengkhianatan, dan persoalan tentang kejujuran yang membuat penonton tertanya-tanya — sanggupkah Bu Se-mi mempertahankan penyamarannya, atau adakah cintanya akan menjadi korban?
Ms. Incognito merupakan hasil tulisan Hyun Gyu-ri dengan arahan Park Yoo-young, hadir membawa naskhah asli yang sarat misteri, penuh kejutan dan sukar dijangka hingga ke penghujung. Dengan watak yang kompleks, plot mendebarkan serta emosi yang berlapis-lapis, drama ini menjanjikan pengalaman menonton yang segar dan mengujakan, khususnya buat peminat tegar K-drama yang sentiasa dahagakan jalan cerita baharu.
Mengangkat tema sisi gelap kehidupan manusia, drama ini memperlihatkan bagaimana seseorang sanggup menukar identiti, mengkhianati kepercayaan, bahkan mengorbankan cinta demi kelangsungan hidup. Setiap episod membuka rahsia yang menguji kesetiaan dan kebenaran, membuatkan penonton tidak pernah berhenti meneka siapakah sebenarnya yang akan terus bertahan dalam permainan penuh tipu daya ini.
Nantikan tayangan perdana Ms. Incognito bermula 29 September ini, setiap Isnin dan Selasa pada pukul 9.00 malam, serentak dengan siaran di Korea melalui Tonton. Untuk maklumat terkini tentang drama ini dan rancangan menarik lain, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram menerusi @tontonmy.