Ikon muzik dan fesyen tanah air, Hael Husaini bakal mengadakan konsert solo sulungnya bertajuk “Konsert Hael Husaini & Repertoire” pada 8 Ogos 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Dikenali dengan vokal luar biasa, gaya elegan dan pencapaian seni yang membanggakan, konsert ini bakal menjadi malam bersejarah yang menggabungkan muzik, fesyen dan emosi dalam satu persembahan eksklusif.

Sepanjang kerjayanya, Hael bukan sahaja pernah memenangi AJL dua kali berturut-turut menerusi “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah), malah ciptaannya “Anta Permana” yang dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut tersenarai dalam playlist rasmi diraja “The King’s Music Room” oleh HRH King Charles III. Pada tahun 2024, lagu “Diam” nyanyiannya juga diangkat sebagai “Best Theme Song” di Asian Academy Creative Awards (AACA). Selain muzik, Hael menyerlah di pentas Milan & Paris Fashion Week 2025, memperagakan jenama antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Kenzo dan Amiri.
Pengumuman rasmi mengenai konsert ini dibuat secara langsung di program Big Stage Alpha pada 1 Jun 2025, dan Hael kemudiannya mengesahkan Dayang Nurfaizah dan Nadeera sebagai artis jemputan. Menerusi satu lagi hantaran di laman sosialnya, Hael turut mengumumkan dua lagi nama iaitu Wany Hasrita dan Nabila Razali menjadikan empat penyanyi wanita hebat yang bakal berkongsi pentas bersamanya. Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi juga pengalaman menyeluruh dengan visual sinematik, susunan lagu baharu, segmen fesyen eksklusif dan persembahan istimewa.

Tiket mula dijual pada 3 Jun 2025, jam 12 tengah hari di ticket2u.com.my. Harga tiket bermula serendah RM120 (Bronze) hingga RM258 (Platinum – Standing, dengan poster bertandatangan). Peminat yang membeli VIP Box (RM588) akan menikmati pelbagai keistimewaan seperti pas meet & greet, merchandise rasmi, minuman, makanan ringan dan ruang masuk peribadi untuk 10 orang. Konsert ini turut mendapat sokongan daripada ERA, Sinar, Gegar dan Gempak sebagai rakan media rasmi. – Tehtariktimes