JAFF Market 2025 Lebarkan Platform Penggiat Filem Asia ke Peringkat Global

JAFF Market 2025 kembali dengan penganjuran yang lebih besar dan strategik. Acara industri selama tiga hari ini akan berlangsung di Jogja Expo Center (JEC), Yogyakarta dari 29 November hingga 1 Disember, berfungsi sebagai platform utama yang memacu karya pembikin filem Asia — termasuk Malaysia — ke pentas global melalui rangkaian pembeli, pelabur dan rakan industri antarabangsa.

Dikuasakan oleh Amar Bank, JAFF Market menjadi pintu masuk penting ke dalam ekosistem filem Indonesia, menggerakkan kerjasama kreatif serta pembangunan harta intelek (IP) yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penyertaan Media Prima sebagai rakan promosi tahun ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta industri serantau, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk kandungan tempatan dikomersialkan.

Sebagai hab pertemuan profesional industri, JAFF Market menghimpunkan studio, penerbit, pengedar, platform penstriman, pelabur dan pembeli kandungan dari seluruh Asia Tenggara dan Asia Pasifik. Kehadiran besar pemain antarabangsa membuka ruang kepada peserta Malaysia mengetengahkan IP baharu, membincangkan potensi produksi bersama dan mengembangkan capaian kandungan ke luar negara.

JAFF Market juga memberi tumpuan kepada pembangunan harta intelek merentasi medium seperti adaptasi buku, permainan video dan muzik ke skrin. Pendekatan ini menambah nilai kepada vendor Malaysia yang mempunyai katalog kandungan sedia ada, selain membuka potensi kolaborasi dengan penerbit serta pengedar antarabangsa.

Majlis pembukaan JAFF Market 2025 akan menampilkan sesi “THE NUSANTARA WAVE: The Rise of Indonesia–Malaysia Collaborations” oleh Komet Productions, Skop Productions, Magma Entertainment dan Red Communications. Kehadiran empat syarikat ini membuktikan perkembangan hubungan kreatif dua negara, sekaligus memperluas peluang kandungan Malaysia menembusi pasaran Asia dan global.

Edisi JAFF Market 2024 menerima lebih 6,700 pengunjung dari 19 negara, dengan 1,054 profesional berakreditasi, 151 reruai pameran dan 63 perjanjian perniagaan bernilai kira-kira IDR 36 bilion. Penganjur menjangkakan peningkatan ketara untuk edisi 2025, seiring permintaan global terhadap kandungan Asia yang terus meningkat.

Sebagai cabang industri kepada Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) yang menyambut ulang tahun ke-20, JAFF Market meneruskan enam program utama yang memperkasa pembangunan industri: Future Project, Content Market, Talent Day, Film & Market Conference, Market Screening dan Film Lab.

Pencapaian peserta JAFF Market 2024 turut mengukuhkan kedudukan platform ini sebagai pemacu kejayaan ke peringkat antarabangsa. Antaranya ialah filem Pangku arahan Reza Rahadian terpilih ke program HAF Goes to Cannes di Marché du Film 2025, serta tiga IP — Bandits of Batavia, Jitu dan Locust — yang berjaya menembusi forum pitching di Cannes.

Dengan pertumbuhan pesat kandungan Asia, JAFF Market 2025 muncul sebagai saluran penting untuk mengangkat karya pembikin filem Malaysia dan Asia melalui kerjasama jangka panjang, akses pelaburan global dan jaringan industri yang meluas.

Untuk maklumat lanjut, layari https://jaff-market.com/.