INFINITY VIBES FEST 2025: ACARA SEHARI YANG RAIKAN KOPI, DESSERT, MUZIK & KOMUNITI TANPA ALKOHOL

Infinity Love Creative Ventures memperkenalkan festival gaya hidup terbaharu, Infinity Vibes Fest 2025, yang bakal berlangsung pada 13 Disember 2025 di Dataran MAEPS, Serdang. Festival sehari ini dirangka untuk menghimpunkan elemen larian, kulinari, muzik dan komuniti dalam satu pengalaman penuh energi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Dengan konsep acara sepenuhnya bebas alkohol, ia dijadikan destinasi hujung minggu yang selamat, mesra keluarga dan inklusif.

Menurut penganjur, Shasha Samsudin bersama Creative Show Director En. Fidote dari Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), festival ini diwujudkan untuk meraikan gaya hidup moden melalui gabungan pelbagai minat dalam satu ruang yang dinamik. Mereka menjelaskan bahawa Infinity Vibes Fest 2025 bertujuan memperkenalkan acara gaya hidup berkonsepkan One-Day Lifestyle Experience yang menghubungkan larian santai, kopi, pencuci mulut, makanan gaya hidup dan muzik secara harmoni. Dalam masa yang sama, festival ini turut membuka peluang penting kepada DJ tempatan untuk tampil di pentas lebih besar.

Konsep festival sehari dipilih bagi memastikan perjalanan acara lebih tersusun, fokus dan mudah diakses oleh pengunjung. Penganjur percaya pendekatan ini membolehkan tetamu menikmati semua segmen tanpa tekanan masa, selain membantu menguruskan logistik dengan lebih efisien. Tahun ini, festival turut memberi nafas baharu dengan memperkenalkan R&B & Hip-Hop Picnic pertama di Malaysia, menawarkan suasana berkelah santai sambil ditemani muzik urban yang dipersembahkan oleh DJ tempatan.

Elemen kulinari juga menjadi antara teras utama festival, khususnya melalui segmen Coffee, Dessert & Kulinari Lifestyle. Segmen ini akan menampilkan kehadiran artisan kopi, pembuat pencuci mulut, bakeri serta usahawan kecil tempatan sebagai teras kepada pengalaman festival. Dengan penekanan terhadap kreativiti kulinari, ia dijangka menarik perhatian pengunjung yang mencari pengalaman gastronomi berinspirasikan gaya hidup moden.

Festival ini disasarkan untuk menarik pelbagai golongan termasuk keluarga, fun runners, peminat kopi, pencinta pencuci mulut, pelajar serta golongan muda aktif. Penganjur menjangkakan kehadiran antara 3,000 hingga 10,000 pengunjung yang berminat dengan aktiviti santai, sihat dan berhibur dalam satu acara. Shasha menzahirkan keyakinan bahawa Infinity Vibes Fest mampu berkembang menjadi acara tahunan yang penting dalam kategori fun run, kopi, dessert dan muzik urban di Malaysia.

Edisi 2025 bakal menawarkan empat pengalaman utama yang boleh dipilih mengikut minat pengunjung. Pada waktu pagi, acara dimulakan dengan Coffee & Dessert Run yang menampilkan larian santai 5KM, manakala kategori Fun Walk 3KM telah habis dijual. Sepanjang hari, Food Fest: Coffee & Dessert akan menampilkan rangkaian usahawan kopi dan pencuci mulut tempatan. Pada sebelah petang, pengunjung boleh menikmati R&B & Hip-Hop Picnic dengan suasana santai, diikuti Local DJ Night pada waktu malam yang membawakan DJ tempatan seperti DJ MIA, DJ DEVO WAYNE, DJ ASAP, DJ ALIPH, DJ ALIPP, DJ FAZZ, DJ SYAZA serta DJ LOLLIPOP (Lawrence Anthony), pemegang rekod Malaysia’s Youngest DJ.

Festival ini turut menerima sokongan daripada beberapa jenama seperti Kopi Dua Darjat, F&N (100PLUS), Park Inn Hotel by Radisson serta MAEPS Serdang sebagai lokasi rasmi. Selain menikmati program yang disusun, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti jam tangan Roerdum Watch, baucar bilik Park Inn, Smart TV dan pelbagai hamper melalui cabutan bertuah. Tiket kombo untuk R&B & Hip-Hop Picnic dan Local DJ Night turut disediakan pada harga RM120. Untuk maklumat lanjut atau pembelian tiket, orang ramai boleh melayari laman rasmi Infinity Vibes Fest atau menghubungi talian hotline yang disediakan.