Imran Aqil Rasmi Sertai NLKO Mulai 2 Julai 2025

Personaliti media sosial dan aktivis muda, Imran Aqil, bakal menyertai barisan pengacara program bual bicara pagi kegemaran ramai, Nasi Lemak Kopi O (NLKO), bermula 2 Julai 2025.

Imran yang berasal dari Tapah, Perak, mula dikenali melalui program realiti dan kini aktif sebagai pencipta kandungan digital, pengacara serta terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan dan aktiviti kemasyarakatan. Kehadirannya dijangka menyuntik elemen dinamik, segar dan lebih dekat dengan generasi muda.

Menurut Imran, peluang ini adalah satu langkah baharu dalam kerjayanya dan menjadi ruang terbaik untuknya terus menyebarkan inspirasi. “Saya amat bersyukur diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga NLKO. Sebagai seorang yang suka berinteraksi dan berkongsi cerita, saya berharap kehadiran saya dapat menceriakan pagi penonton dan menyampaikan mesej-mesej bermanfaat,” katanya.

Program NLKO kembali bersiaran sejak Januari 2024 selepas enam tahun direhatkan dan kini menemui penonton setiap Rabu hingga Jumaat jam 10:30 pagi di TV9 serta boleh distrim di Tonton. Ia terus mengekalkan statusnya sebagai rancangan pilihan ramai dengan gabungan kandungan santai, informasi dan hiburan.

Barisan pengacara sedia ada terdiri daripada nama-nama versatil seperti Fizo Omar, Affiza Azmi, Fakhrul Radhi, Ähmad Barr, Muaz Mohamed, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah kini diperkukuh dengan kemasukan Imran Aqil.

NLKO menampilkan pelbagai segmen menarik termasuk Isu Semasa, Aspirasi, Solusi Resepi, Poket Suri, Khabar Dari Palestin, dan persembahan busker tempatan. Malah, ia turut memberi platform kepada usahawan tempatan untuk berkongsi kisah perniagaan, cabaran dan kejayaan mereka kepada penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan kemunculan sulung Imran Aqil dalam NLKO yang akan terus menyajikan informasi, inspirasi dan perbincangan gaya hidup untuk seisi keluarga.

Untuk info terkini mengenai NLKO dan program TV9 yang lain, ikuti Facebook, Instagram dan X @TV9Malaysia, serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial. – Tehtariktimes