Hilang Dalam Rindu 2 Kembali Menyentuh Hati, Jazmy Juma dan Tracie Sinidol Tempuh Cabaran Baharu Sebagai Ibu Bapa

Selepas kejayaan musim pertama yang meraih 9 juta tontonan di televisyen serta 1.5 bilion capaian di media sosial, kisah cinta Aira dan Eijaz kembali menyentuh hati penonton menerusi sambungan drama Hilang Dalam Rindu 2. Drama ini bakal ditayangkan bermula Hari Raya Pertama bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri serta kempen Ramadan Raya 2026.

Bagi memperkenalkan drama ini kepada para peminat dan rakan media, satu sesi iftar istimewa HDR2 telah diadakan di Banglo 289, ibu negara. Majlis tersebut bukan sekadar sesi berbuka puasa bersama, malah menjadi peluang eksklusif buat peminat untuk berinteraksi lebih dekat dengan barisan pelakon, berkongsi detik bermakna serta mengeratkan hubungan antara penonton dan watak-watak yang menghidupkan cerita ini.

Drama ini menampilkan gandingan pelakon Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai pasangan utama, selain turut dibintangi oleh Zarif Ghazzi serta pelakon senior Jalaluddin Hassan. Mereka menghidupkan kisah penuh emosi yang menyentuh tentang perkahwinan, keluarga dan kekuatan cinta selepas melalui pelbagai ujian kehidupan.

Hilang Dalam Rindu 2 membuka cerita dengan detik cemas apabila Aira selamat melahirkan anak pertama mereka, Eirman. Namun pengalaman hampir kehilangan Aira ketika bersalin meninggalkan trauma mendalam dalam diri Eijaz. Sejak itu, kehidupan mereka sebagai ibu bapa baharu dipenuhi pelbagai cabaran apabila Eijaz menjadi terlalu melindungi, manakala Aira pula berusaha membuktikan dirinya mampu mengurus keluarga dengan caranya sendiri.

Perbezaan pandangan antara mereka sering mencetuskan pertengkaran kecil, walaupun kehidupan rumah tangga mereka turut diserikan dengan detik manis dan lucu. Ketegangan semakin memuncak apabila kisah silam kembali menghantui keluarga mereka, termasuk kemunculan individu yang pernah melukai kehidupan mereka sebelum ini.

Hilang Dalam Rindu 2 bukan sekadar mengangkat kisah cinta suami isteri, malah turut menyelami aspek trauma, kepercayaan dan perjalanan membina keluarga yang tidak pernah sunyi daripada cabaran. Drama ini juga mengetengahkan tema keibubapaan, tanggungjawab berkeluarga serta pengorbanan yang perlu dilakukan demi mempertahankan dan mengukuhkan institusi keluarga.

Menerusi jalan cerita yang sarat emosi, konflik kekeluargaan yang dekat dengan realiti kehidupan serta lakonan mantap barisan pelakon, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hilang Dalam Rindu 2 bermula Hari Raya Pertama hingga Hari Raya Kelima, jam 10.30 pagi di TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, selain Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.