
Heidi Moru tampil dengan sebuah karya yang penuh penghayatan menerusi lagu ‘Dendam‘, runut bunyi rasmi (OST) filem Nar’sata: Sekutu Setan, yang dianggap sebagai antara lagu paling bermakna dalam perjalanan seninya setakat ini. Menurut penyanyi muda itu, peluang untuk menyanyikan karya ciptaan komposer Luca Sickta hadir pada saat yang cukup bertepatan dengan situasi hidupnya. Tanpa berfikir panjang, Heidi terus menerima tawaran tersebut kerana yakin dengan kredibiliti Luca yang pernah dikenali sebagai juri Anugerah Lagu Indie.
Katanya, sebaik sahaja mendengar demo lagu itu, dia merasakan setiap bait lirik seolah-olah menggambarkan emosi yang sedang dilaluinya ketika itu. Liriknya memberi ruang untuk meluahkan perasaan yang selama ini hanya dipendam tanpa kata. Bagi menghidupkan lagu tersebut, Heidi turut mendalami watak Balqis, protagonis filem Nar’sata: Sekutu Setan, yang melalui pelbagai episod kehilangan sehingga kesedihan yang dipendam bertukar menjadi dendam.

Sebagai individu yang mudah berempati, Heidi berusaha menyalurkan segala rasa sedih, kecewa dan kemarahan yang dialami watak itu agar penyampaiannya lebih jujur dan menyentuh hati pendengar. Dari sudut rakaman pula, Heidi mengakui cabaran terbesar adalah mengekalkan kestabilan vokal sambil memastikan emosi lagu terus dirasai sepanjang persembahan. Walaupun teknik vokalnya bukan sesuatu yang asing, lagu ini menuntut kawalan pernafasan serta stamina yang lebih tinggi.
Heidi turut menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Luca Sickta dan keseluruhan pasukan produksi sebagai pengalaman yang amat bermakna dalam membentuk perjalanan kerjaya seninya. Beliau berharap lagu ‘Dendam‘ mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang berdepan kesedihan serta menjadi peringatan bahawa setiap luka akhirnya mampu diterima dengan reda. Selain berharap lagu tersebut mendapat sambutan hangat, Heidi turut mendoakan agar filem Nar’sata: Sekutu Setan dapat menyampaikan mesej tentang pentingnya memilih sahabat yang baik dan memberi pengajaran kepada para penonton.






