KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Bank Islam Malaysia Berhad memberi amaran kepada orang ramai dan para pelanggan agar berwaspada terhadap penipuan yang semakin berleluasa melalui SMS, mesej WhatsApp dan hantaran media sosial palsu. Penipuan ini menyamar sebagai akaun rasmi Bank Islam dan melibatkan penyebaran maklumat berkaitan kempen Al-Awfar serta aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile. Bank Islam mengesan peningkatan dalam mesej mengelirukan yang menggesa penerima untuk mengklik pautan mencurigakan atau memuat turun aplikasi tidak sah daripada sumber selain gedung rasmi seperti Google Play, Apple App Store atau Huawei AppGallery. Tindakan ini berisiko menyebabkan maklumat peribadi dan perbankan pelanggan dicuri melalui serangan pancing data (phishing).
Bank menegaskan bahawa semua kempen, promosi dan urusan berkaitan produk perbankannya hanya dijalankan melalui saluran rasmi seperti laman web www.bankislam.com serta akaun media sosial rasmi Bank Islam di Facebook, Instagram, TikTok dan LinkedIn (Bank Islam Malaysia Berhad), dan X (myBankIslam). Sebarang penyertaan untuk kempen seperti Al-Awfar hanya sah jika dilakukan melalui platform rasmi Bank sahaja.
Bagi pelanggan yang ingin membuka akaun secara dalam talian, Bank Islam menyarankan penggunaan platform Virtual Account Opening (VAO) di https://vao.bankislam.com.my. Ini adalah satu-satunya saluran digital yang diiktiraf dan selamat untuk pendaftaran akaun baharu. Sementara itu, panduan lengkap untuk menetapkan akaun perbankan mudah alih BIMB Mobile juga boleh dirujuk menerusi pautan https://bimb.com/set-up-your-account-bimb-account yang menyediakan arahan jelas untuk pengalaman pendaftaran yang lebih selamat.
Bank Islam turut mengingatkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada sebelum log masuk ke akaun perbankan. Pelanggan dinasihatkan untuk memastikan imej dan frasa keselamatan adalah betul sebelum memasukkan kata laluan mereka, serta tidak berkongsi sebarang maklumat log masuk dengan individu lain, termasuk kakitangan Bank sendiri. Sekiranya berlaku sebarang aktiviti luar biasa atau disyaki berlaku penipuan, pelanggan boleh segera mengaktifkan fungsi Kill Switch di dalam aplikasi BIMB Mobile untuk menghentikan operasi akaun serta-merta sebagai langkah keselamatan.
Sebarang laporan berkaitan aktiviti mencurigakan atau penyalahgunaan identiti Bank Islam boleh disalurkan kepada Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900, melalui emel ke contactcenter@bankislam.com.my atau dengan menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997. Bank Islam menegaskan bahawa pihaknya tidak akan meminta sebarang maklumat peribadi atau sensitif melalui SMS, mesej WhatsApp, laman web tidak rasmi atau media sosial, dan sentiasa komited dalam melindungi keselamatan data serta kepentingan para pelanggan. – Tehtariktimes