Menyahut gelombang muzik arus semasa yang semakin terbuka kepada suara-suara tulen dan penceritaan berlapis, penyanyi Halim dan rapper berkarisma, Kmy Kmo, bergabung tenaga dalam single terbaharu mereka berjudul Layar Boneka. Dicipta oleh Kmy Kmo bersama HMstatenine, lagu ini bukan sekadar hiburan semata, tetapi juga menyelitkan teguran sosial dan peringatan halus kepada masyarakat.
“Kami mahu bersuara, kami bukan sekadar mahu nyanyi.” itulah suara hati Halim dan Kmy Kmo yang ingin berkongsi naratif perjuangan, keazaman dan maruah melalui karya seni. Lirik dan susunan lagu ini membawa pendengar menelusuri dimensi emosi yang mendalam tentang keberanian bangkit semula setelah dijatuhkan oleh fitnah, dan menjadikan kesakitan sebagai tenaga untuk terus melangkah.
Bagi Halim, keterujaan berduet dengan Kmy Kmo lahir daripada kekaguman terhadap gaya muzik unik rapper tersebut yang disifatkannya sebagai versatil dan sarat dengan elemen muzik nusantara. “Saya memang meminati muzik yang Kmy bawakan. Saya juga sukakan pelbagai genre seperti slow rock, pop balada dan hip hop – tetapi saya lebih cenderung kepada hip hop,” jelas Halim yang sebelum ini lebih dikenali dalam bidang keusahawanan dan program televisyen.
Pertemuan mereka bermula di set penggambaran program Manhajj Mutawiff terbitan syarikat milik Halim, di mana Kmy Kmo turut menyumbang dalam penghasilan lagu tema rancangan tersebut. Dari situ, tercetus idea untuk bekerjasama dalam studio rakaman, sekali gus melahirkan Layar Boneka sebagai titik mula kolaborasi kreatif mereka.
Menurut Kmy Kmo pula, keunikan vokal Halim yang sesuai dengan genre rock kapak menarik perhatiannya. “Halim adalah sahabat yang berbudi pekerti, rajin belajar dan sentiasa mencabar diri. Saya yakin suara dan semangat beliau sangat sesuai untuk memberi jiwa pada lagu seperti ini,” ujar Kmy yang terkenal dengan gaya rap yang padat dengan makna dan mesej sosial.
Layar Boneka merupakan gabungan pop moden, balada kontemporari dan elemen hip hop Melayu, disusun oleh HMstatenine. Ia menawarkan pengalaman muzik yang bukan sahaja segar dari segi sonic, tetapi juga menyentuh dari sudut emosi. Lagu ini menyuarakan seruan untuk bangkit, menuntut harga diri dan menyampaikan mesej kepada mereka yang selama ini mendiamkan diri akibat cercaan.
Audio rasmi dan video muzik Layar Boneka kini boleh dinikmati di semua platform digital serta saluran YouTube rasmi Luncai Emas, yang turut bertindak sebagai pengedar digital bagi single ini. – Tehtariktimes