GV12: Astro Cipta Dimensi Baharu Dunia Hiburan Tanah Air

Saban kali menjadi penantian para peminat serta penonton Astro, program nyanyian Gegar Vaganza kini kembali menghangatkan malam minggu dengan penganjuran tahun kedua belasnya. Musim kali ini memperkenalkan konsep eksklusif “GV-Verse”, sebuah dimensi yang diinspirasikan daripada aura dan keunikan bintang-bintang GV12 yang mempunyai kelebihan mereka tersendiri sehingga ke hari ini. GV12 bakal bersiaran mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam secara langsung di Astro Ria, saluran 104.

Daripada ikon era 80-an hingga ke suara emas 2000-an, GV12 meraikan kebangkitan semula sebuah era gemilang melalui muzik yang abadi dan tidak lapuk dek zaman, menyatukan suara-suara legenda merentasi sempadan dan generasi. Musim ini, Astro mempersembahkan 13 barisan peserta solo dan kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bakal menampilkan kehebatan seni serta menghidupkan kembali pentas dengan persembahan penuh pesona.

Mewakili Malaysia, barisan peserta menampilkan nama-nama hebat seperti Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan, bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima). Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha dan Diana), manakala Singapura tampil dengan penyertaan Iskandar Ismail yang sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma. Menambah elemen misteri, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni unik yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.

Keunggulan GV12 turut diserlahkan dengan barisan hos dan juri yang menjadi nadi utama rancangan ini. Mengemudi pentas sekali lagi ialah pasangan pengacara serasi Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, manakala juri tetap terdiri daripada Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. Mereka akan memberikan penilaian penuh kepakaran terhadap setiap persembahan peserta.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, sejak mula diperkenalkan, Gegar Vaganza kekal sebagai pertandingan nyanyian realiti nombor satu di Malaysia. Program ini menjadi platform untuk penyanyi legenda dan artis yang lama menyepi menyalakan semula perjalanan muzik mereka. Daya tarikannya terletak pada gabungan nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen yang menyatukan artis dan penonton melalui lagu-lagu abadi.

“Tahun ini, kami mengangkat legasi tersebut ke tahap lebih tinggi menerusi GV-Verse, sebuah dimensi baharu yang meraikan kepelbagaian serta kehebatan bakat serantau. Daripada legenda evergreen seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra hingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap artis membawa kisah serta semangat tersendiri ke pentas GV. Musim ini juga memperkenalkan kumpulan dinamik seperti Freshies dan Mendua yang menampilkan keindahan harmoni seperti yang dijanjikan oleh GV-Verse,” jelasnya.

“Dengan barisan peserta yang hebat dan pelbagai ini, kami mahu GV12 menjadi lebih daripada sekadar pertandingan. Ia tentang menghargai perjalanan mereka dan membayangkan sejauh mana mereka boleh pergi selepas ini. Kami menjemput semua Vaganzers untuk menyertai universe ini bersama kami bagi mengimbau kenangan, menemui alunan baharu dan menyaksikan dunia muzik dalam skala lebih besar,” tambahnya.

GV12 turut boleh ditonton melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Format penjurian masih dikekalkan dengan 100 peratus markah daripada juri profesional, dan peserta dengan markah terendah akan disingkirkan setiap minggu. Juara akan membawa pulang RM100,000, naib juara RM50,000, tempat ketiga RM30,000, manakala tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

Program ini berlangsung selama 12 minggu, bersiaran setiap Ahad dari Auditorium MBSA Shah Alam. Selain itu, kapsul Gegar Vaganza berdurasi lima minit yang menampilkan persiapan dan momen di balik tabir akan disiarkan setiap minggu bersama hos Falyq Hikyle. Selepas program utama, penonton boleh mengikuti Vazz Vaganza bersama Dina Nadzir selama 30 minit yang menampilkan wawancara bersama peserta dan juri. Program digital Sofa Kentang GV12 juga akan disiarkan serentak di platform media sosial Astro Gempak.

GV12 dibawakan dengan sokongan CelcomDigi selaku penaja utama bersama HONOR sebagai telefon pintar rasmi. Penaja bersama ialah Adabi dan Uphamol, dengan Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi serta SINAR sebagai rakan radio rasmi disokong oleh ERA dan GEGAR.

Dengan gabungan barisan artis serantau, konsep baharu yang segar dan sokongan padu penonton, Gegar Vaganza musim ke-12 menjanjikan perjalanan muzik penuh kejutan yang bakal mencipta fenomena sekali lagi di pentas hiburan tanah air.