Global Ehsan Relief Anjur Malam Amal ‘Dari Kasih ke Ehsan’ Demi Perkasa Misi Kemanusiaan

Dalam usaha memperluaskan impak misi kemanusiaannya, Global Ehsan Relief bakal menganjurkan makan malam amal Dari Kasih ke Ehsan pada 14 Ogos depan di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform mengumpul dana, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami lebih dekat realiti kehidupan golongan yang memerlukan melalui perkongsian pengalaman sukarelawan dan petugas kemanusiaan. Program itu turut menggabungkan elemen hiburan, kerohanian dan kesedaran sosial bagi menyemarakkan budaya memberi serta menggalakkan lebih ramai pihak menyokong usaha-usaha kemanusiaan.

Pengarah Program, Suffi Shukor berkata, para hadirin akan dibawa menyelami kisah sebenar masyarakat yang memerlukan bantuan menerusi perkongsian pengalaman di lapangan, sekali gus diharap dapat membina rasa empati dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebajikan.

Tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid Inteam serta pengisian rohani menerusi tausiyah oleh Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan PU Amin, manakala Fedtri Yahya akan bertindak sebagai pengacara majlis.

Global Ehsan Relief menyasarkan kutipan minimum sebanyak RM500,000 menerusi penganjuran makan malam amal itu bagi membiayai beberapa projek utama termasuk bantuan kecemasan di Gaza, bantuan musim sejuk, Ehsan Lokal serta Projek Umrah Anak Yatim. Secara keseluruhannya, organisasi itu menetapkan sasaran dana berjumlah RM1 juta bagi menyokong pelbagai projek kemanusiaan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun menerusi sokongan individu, syarikat korporat, agensi kerajaan dan rakan strategik.

Tiket individu kini boleh diperoleh pada harga bermula RM175, sementara pakej meja korporat dijual bermula RM5,000 sehingga RM25,000 berserta kemudahan pelepasan cukai.

Lebih daripada sekadar sebuah majlis makan malam amal, Dari Kasih ke Ehsan membawa mesej bahawa setiap rasa kasih dan keprihatinan perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata. Global Ehsan Relief berharap program ini dapat mengukuhkan semangat kesukarelawanan serta mengajak lebih ramai masyarakat menjadi sebahagian daripada usaha menyebarkan kebaikan dan meringankan beban golongan yang memerlukan.