Dua syarikat produksi ternama Malaysia, Red Communications dan Komet Productions, bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah filem seram baharu berjudul Khadam. Berlatarbelakangkan Malaysia era 1950-an, filem ini menjanjikan gabungan mistik Nusantara dengan penceritaan sinematik yang penuh mendebarkan.
Kolaborasi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat, diterajui oleh ratu filem seram Indonesia, Aghniny Haque (KKN Desa Penari, Pemandi Jenazah), bersama idola layar Malaysia, Datuk Remy Ishak (The Experts, Pulang, Sangkar) serta pelakon berbakat besar, Siti Khadijah Halim (From Saga With Love, Ash & Aish).
Dengan rekod cemerlang menghasilkan filem ikonik seperti Istanbul Aku Datang, Kami The Movie dan Songlap, Red Communications melangkah berani menembusi genre seram-serius menerusi Khadam. Projek ini turut dikuatkan oleh Komet Productions, syarikat produksi Asia Tenggara yang berpengalaman menerbitkan karya besar termasuk Blood Brothers Bara Naga, Ejen Ali The Movie 2 dan Siksa Kubur.

Menariknya, Khadam telah berjaya menarik perhatian syarikat antarabangsa seperti Sil Metropole (Hong Kong) dan Applause Entertainment (India). Penglibatan mereka membuktikan permintaan tinggi terhadap filem Asia Tenggara yang berkualiti dan berakar budaya tempatan. Projek ini juga mendapat sokongan rasmi daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).
Filem ini akan diarahkan oleh Shamyl Othman, pengarah filem seram blockbuster Rahsia (2023). Skrip dan lakon layar pula ditulis oleh Fariza Azlina Isahak, penulis prolifik di sebalik KAMI The Movie dan Songlap, karya yang pernah diraikan kerana menangkap semangat generasi pada zamannya.
Khadam mengisahkan Melor, seorang wanita yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya. Pewarisan spiritual gelap ini mula menguasai hidupnya, membuatkan Melor terdesak berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada mewarisi entiti hitam tersebut.

Lebih daripada sekadar filem seram, Khadam adalah sebuah penerokaan penuh emosi tentang cabaran keibuan serta pilihan sukar seorang wanita dalam dunia yang sarat dengan mitos dan budaya Asia Tenggara. Dengan penceritaan yang seram namun menyentuh perasaan, filem ini dijangka memberi impak mendalam kepada penonton.
Selain barisan utama, Khadam turut menampilkan pelakon berbakat seperti Jun Lojong, serta pelakon kanak-kanak adik-beradik Zarra Zhaff dan Karl’El. Penggambaran akan bermula pertengahan September 2025 dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara serta pasaran serantau terpilih pada tahun 2026.
Kerjasama antara Red Communications dan Komet Productions ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh industri perfileman tempatan. Dengan menghimpunkan bakat, sumber dan visi, Khadam diharap mampu mengangkat filem seram Malaysia ke pentas serantau sekaligus membuka pasaran penonton yang lebih luas.