for Revenge mempersembahkan ‘I Miss You Every Brand New Day’, sebuah lagu original yang dihasilkan khas untuk filem Spider-Man: Brand New Day. Kolaborasi ini bermula selepas Sony Music dan Sony Pictures melihat karya-karya for Revenge selari dengan emosi yang dibawakan dalam filem tersebut.
Bagi for Revenge, peluang ini merupakan satu pencapaian dan cabaran kreatif yang cukup istimewa. Buat pertama kalinya, mereka menghasilkan karya yang bukan sahaja diinspirasikan daripada pengalaman peribadi, malah turut berpandukan perjalanan emosi watak Peter Parker.
Menurut Boniex, mereka tidak pernah membayangkan for Revenge akan diberi peluang untuk menghasilkan karya berdasarkan salah satu francais filem terbesar di dunia.
Beliau berkata, kebiasaannya mereka menghasilkan lagu berdasarkan pengalaman sendiri, namun kali ini mereka perlu menyelami emosi yang dirasai oleh Peter Parker dalam filem tersebut. Sebagai peminat Spider-Man, pengalaman itu menjadi satu kebanggaan buat mereka kerana dapat meneroka sisi emosi watak ikonik berkenaan.
‘I Miss You Every Brand New Day’ membawa identiti emosional for Revenge ke dalam dunia Spider-Man: Brand New Day. Lagu ini menggabungkan naratif peribadi yang menjadi identiti kumpulan tersebut dengan perjalanan salah seorang adiwira paling ikonik di dunia.

Lagu ini turut diperkaya dengan penampilan vokal undangan daripada Cynantia Pratita, arahan vokal oleh Kamga serta korus yang dibawakan oleh Gege Gumilar, Mulia Aprianto, Nadine Arlyanaza dan Luginia Raftiane.
Proses penerbitan lagu ini turut melibatkan beberapa nama di sebalik tabir industri muzik Indonesia, sekali gus memperlihatkan skala dan kesungguhan penghasilan karya ini sebagai sebuah lagu original.
‘I Miss You Every Brand New Day’ dijangka menjadi karya istimewa buat peminat for Revenge, penggemar Spider-Man serta sesiapa sahaja yang pernah berdepan dengan rasa rindu, kehilangan dan harapan untuk memulakan hari yang baharu.
Lagu tersebut kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital di Indonesia.










