Filem “Sore: Istri dari Masa Depan” Tembus Oscar 2026, Kini Ditayangkan untuk Peminat Malaysia

Screenshot

Filem drama romantis fantasi Sore: Istri dari Masa Depan terus mencatatkan kejayaan selepas meraih lebih daripada tiga juta penonton di bioskop Indonesia. Kini, filem arahan Yandy Laurens itu melangkah lebih jauh apabila dipilih sebagai wakil rasmi Indonesia dalam ajang berprestij Academy Awards (Oscar) ke-98 untuk kategori Best International Feature Film.

Pemilihan ini diumumkan oleh Komite Seleksi Oscar Indonesia pada 8 September 2025 selepas rapat pleno yang diadakan khas. Komite tersebut dibentuk setiap tahun oleh Persatuan Perusahaan Film Indonesia (PPFI) dan divalidasi oleh pihak Academy Awards bagi memastikan hanya satu filem terbaik dipilih mewakili negara. Produser filem ini, Suryana Paramita, meluahkan rasa syukur apabila karyanya diberi kepercayaan membawa nama Indonesia ke peringkat dunia. Beliau berharap sokongan penuh akan diberikan oleh semua pihak agar perjalanan filem ini di Oscar berjalan lancar, sekali gus menjadi langkah baharu selepas menerima sambutan hangat daripada penonton tanah air.

Sutradara Yandy Laurens turut menyatakan penghargaan kepada Komite Seleksi Oscar Indonesia yang telah memilih Sore: Istri dari Masa Depan. Baginya, pemilihan ini adalah bentuk kepercayaan yang sangat besar terhadap karya yang dihasilkan, dan ia menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan kariernya sebagai pembikin filem.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Sheila Dara, Dion Wiyoko, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan dan Mathias Muchus. Lebih istimewa, Sore: Istri dari Masa Depan juga merupakan hasil kolaborasi produksi antara Indonesia dan Kroasia, menjadikannya sebuah karya lintas negara yang membawa nilai tambah kepada industri perfileman tempatan. Ia merupakan filem panjang keempat arahan Yandy Laurens dan sehingga kini menjadi karya terlarisnya.

Selepas menuai kejayaan di Indonesia, filem ini bakal menemui penonton Malaysia bermula 25 September 2025 di rangkaian pawagam utama. Penerbitannya digerakkan oleh Cerita Films bersama sokongan barisan produser eksekutif dan kolaborator antarabangsa termasuk Melyana Tjahyadikarta, Queen Yeap, Slingshot Pictures, Imajinari, Miles Films, Studio Artemis, Jagartha, Trinity Entertainment Network dan Dwidaya Amadeo Gemintang. Filem ini turut mendapat dukungan daripada rakan rasmi seperti Artotel Wanderlust, SukkhaCitta dan HMNS.

Untuk maklumat terkini mengenai Sore: Istri dari Masa Depan, penonton boleh mengikuti perkembangan melalui akaun Instagram rasmi @cerita_films.