TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Fenomena “Demam PGL”: Tiket Grand Finale Puteri Gunung Ledang The Musical Habis Dalam Masa Lima Minit!

Babak pementasan watak utama di bawah sinaran bulan dalam persembahan Puteri Gunung Ledang The Musical

Fenomena Luar Biasa Teater Epik Dua Dekad

Kehangatan pementasan teater epik tanah air terus membara apabila tiket persembahan tambahan “Grand Finale Puteri Gunung Ledang The Musical 2026” dilaporkan habis dijual dalam tempoh hanya lima minit sahaja selepas dibuka kepada umum. Sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa karya ikonik terbitan Enfiniti ini masih mempunyai tempat yang istimewa dihati peminat pelbagai generasi selepas dua dekad diperkenalkan kepada dunia seni persembahan tempatan. Pengasas dan pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina, melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas sokongan padu yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang terus membanjiri barisan dalam talian demi mendapatkan tempat duduk terakhir di panggung.

Gelombang Demam Puteri Gunung Ledang The Musical di Media Sosial

Kejayaan ini menyusuli penjualan kira-kira 23,000 tiket bagi musim asal Kuala Lumpur yang turut habis dijual dalam tempoh yang singkat. Menjelang tirai terakhir pementasan di JeZrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) pada 17 November ini, lebih 24,000 penonton dijangka telah menyaksikan sendiri keajaiban produksi berskala besar ini. Di media sosial, fenomena “demam PGL” jelas kelihatan apabila para penonton tidak putus-putus berkongsi rasa bangga, keterujaan serta pengalaman emosi yang mendalam sepanjang menyaksikan pementasan tersebut bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Melihat kepada permintaan yang amat menggalakkan serta ribuan peminat yang masih belum berpeluang mendapatkan tiket, pihak Enfiniti kini mula meneroka kemungkinan untuk membawa semula muzikal ini ke Kuala Lumpur pada April 2027. Selain itu, perbincangan awal turut diadakan bagi merangka siri jelajah kebangsaan ke beberapa negeri lain. Langkah ini bertujuan memastikan peminat di luar Lembah Klang turut merasai pengalaman magis PGL dengan lebih dekat tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke ibu kota.

Suasana pementasan berskala besar dan tarian istana menghidupkan produksi Puteri Gunung Ledang The Musical

Kejayaan gemilang Puteri Gunung Ledang The Musical bukan sahaja mengangkat martabat teater tempatan, malah menjadi inspirasi kepada pembuat filem dan penerbit lain untuk terus menghasilkan karya berkualiti tinggi. Puan Sri Tiara berharap industri seni persembahan Malaysia akan terus berkembang mekar dan mampu berdiri megah di persada antarabangsa pada masa hadapan. Peminat disaran mengikuti saluran rasmi Enfiniti untuk mendapatkan sebarang pengumuman terkini mengenai siri pementasan seterusnya yang pastinya dinanti-nantikan ramai.