FELDA Kukuhkan Perancangan Masa Depan Melalui Hala Tuju 2025–2030

Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) baru-baru ini mengumumkan penyerahan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030, sejajar dengan cadangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, semasa Majlis Berbuka Puasa bersama warga FELDA pada 26 Mac yang lalu. Pelan ini merangkumi strategi utama dan tindakan terperinci untuk memperkukuhkan kedudukan FELDA sebagai pemangkin ekonomi negara, khususnya di kawasan luar bandar.

FELDA komited untuk memastikan pelaksanaan Pelan Strategik dan Hala Tuju ini dilaksanakan dengan sepenuh dedikasi, bagi mewujudkan ekosistem yang mampan dan bermanfaat untuk semua pemegang taruh. Kejayaan pelan ini memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak untuk memastikan kesejahteraan serta kemajuan FELDA dapat terus diperkukuhkan.

Pelan Strategik ini dirangka dengan teliti melalui enam sesi libat urus yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Ia memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif strategik dalam pelbagai bidang, yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing dan kelestarian FELDA. Dengan penyerahan pelan ini, Pengurusan Kumpulan FELDA menegaskan komitmen mereka dalam melaksanakan setiap strategi yang telah digariskan untuk memastikan FELDA terus berjaya, berdaya saing, dan berterusan mengukuhkan peranannya di peringkat nasional.