Ramalan Peminat Antarabangsa Lonjak Potensi Wakil Malaysia
Penyanyi bervokal ampuh negara, Aina Abdul, terus mencetuskan fenomena luar biasa menjelang edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 apabila mula diramal peminat antarabangsa berpotensi membawa Malaysia menembusi kelompok tiga teratas pertandingan berprestij itu. Berdasarkan reaksi di ruangan komen media sosial rasmi acara berkenaan, nama Malaysia kerap disebut sebaris dengan Filipina dan Vietnam sebagai calon utama podium. Komen-komen seperti “Top 3 Results prediction: Malaysia, Philippines, Vietnam” serta “Dang, Malaysia is cookin” membuktikan persembahan dan keupayaan vokal wakil negara ini mendapat pengiktirafan meluas sebelum tirai saingan dibuka secara rasmi.

Kolaborasi Bersama Bintang Australia di Pentas Eurovision Asia 2026
Kehangatan penglibatan Aina semakin memuncak susulan perkongsian video kolaborasi istimewanya bersama bintang ternama Australia, Delta Goodrem, di laman Instagram rasmi Eurovision Asia. Menerusi hantaran tersebut, Delta mendendangkan bait lagu Bluest Sky milik Aina sebelum dibalas dengan nyanyian lagu Eclipse oleh Aina, lagu yang pernah dibawa Delta ketika mewakili Australia di Eurovision Song Contest 2026. Gabungan vokal berskala mega itu menerima pujian melambung daripada warganet antarabangsa hingga mencatatkan kira-kira 446,000 tontonan setakat 5 November lalu, sekali gus menjadikannya video paling banyak ditonton berbanding perkongsian peserta-peserta lain.
Bukan sekadar mencuri perhatian menerusi lagu yang dipertandingkan, impak kehadiran Aina di pentas serantau ini turut membuka ruang kepada pendengar luar negara untuk meneroka semula diskografi dan karya-karya terdahulunya. Pada malam kemuncak nanti, Aina diberi penghormatan untuk beraksi sebagai peserta ke-11 dan penutup tirai saingan dengan mempertaruhkan lagu Bluest Sky secara langsung dari One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand, pada 14 November 2026.
Format Pemarkahan Global dan Sokongan Siaran Langsung TV3
Penentuan kejuaraan bakal diputuskan menerusi gabungan 50 peratus markah daripada 11 barisan juri kebangsaan dan 50 peratus undian peminat secara global. Sistem pengundian dibuka ketika siaran langsung, di mana setiap pengguna di seluruh dunia diperuntukkan lapan undi percuma yang mesti diagihkan kepada sekurang-kurangnya tiga buah lagu, selain pilihan membeli sehingga 10 undi tambahan. Walau bagaimanapun, peraturan menetapkan bahawa penonton dari negara peserta tidak dibenarkan mengundi wakil dari tanah air sendiri.
Peminat di tanah air boleh memberikan sokongan moral dengan menyaksikan siaran langsung Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi saluran TV3 atau penstriman di aplikasi Tonton pada 14 November 2026, bermula jam 9.30 malam. Bagi mengikuti perkembangan rapat serta liputan eksklusif mengenai persiapan Aina Abdul menjelang malam penentuan itu, orang ramai boleh menonton laporan khas menerusi program Melodi dan platform digital TV3.













