Episod Akhir Mentua: Dua Pengakhiran, Satu Kisah Penuh Konflik

Selepas mengalami tragedi keguguran akibat terjatuh dari tangga, Emilia (Elizad Sharifuddin) tenggelam dalam kesedihan yang mendalam. Walaupun Amir (Syarul Ezani) berusaha sedaya upaya untuk menenangkan dan memulihkan semangatnya, kesan duka itu terus menyelubungi kehidupan mereka. Di tengah-tengah kekalutan emosi, Emilia sering terjaga di tengah malam, dikejar oleh bayangan senyuman sinis Sherina, bekas isteri Amir yang kini tinggal bersama ibu Amir, Azizah (Fauziah Ahmad Daud). Senyuman Sherina itu bagaikan simbol kemenangan, seolah-olah mencerminkan kepuasan di atas penderitaan Emilia.

Dalam keadaan tertekan, Emilia mendedahkan kepada Amir bahawa Sherina berada di tempat kejadian ketika dia terjatuh dari tangga, namun memilih untuk tidak menolong. Sebaliknya, Sherina membiarkan Emilia dalam kesakitan, seolah-olah gembira melihat penderitaan yang ditanggung oleh musuhnya.

Sementara itu, Azizah yang turut berada bersama Sherina pada hari kejadian, tergamam apabila mendengar berita keguguran Emilia. Namun, apa yang lebih mengejutkan baginya ialah senyuman penuh kepuasan yang tergambar di wajah Sherina. Azizah mula merasakan bahawa semua ini adalah sebahagian daripada rancangan licik Sherina. Walaupun Azizah sendiri mempunyai perasaan tidak senang terhadap Emilia, sebagai seorang nenek, dia tidak dapat menafikan rasa kecewa kerana kehilangan cucu yang diharapkannya. Naluri keibuannya masih berharap untuk menyambut kehadiran cucu, walaupun hati kecilnya dibelenggu rasa dendam terhadap Emilia.

Namun, perasaan bersalah Azizah tidak cukup untuk menghentikan dirinya daripada terus merancang kejahatan terhadap Emilia. Dengan licik, Azizah meneruskan niatnya untuk menghancurkan kehidupan menantunya itu. Dia menggunakan Sofea (Hanna Aqeela) dan Lidya (Farahdhiya), dua rakan rapat Emilia yang juga seorang peguam, sebagai alat untuk melaksanakan rancangannya. Azizah bertekad mahu menyaman Emilia atas tuduhan mencuri pekerjanya, tanpa menghiraukan akibat yang bakal ditanggung oleh Emilia. Baginya, dendam lebih penting daripada keadilan.

Amir, sebaliknya, terus setia menemani Emilia sepanjang rawatannya di hospital. Dia sentiasa di sisi Emilia, memberikan sokongan moral dan tidak pernah meninggalkannya sendirian. Ketika Emilia akhirnya dibenarkan pulang, dia meminta Amir untuk membawanya ke rumah keluarganya. Emilia berharap untuk mencari ketenangan dan sokongan daripada bapanya, jauh dari segala kekacauan yang melanda hidupnya.

I memang tak suka perempuan tu ye! I memang tak suka perempuan tu! Tapi you listen here! Anak yang dia kandung tu anak Amir, cucu ibu. You ingat ibu ni apa dah mati hati dah mati perasaan ?! haaa?! – Tegas Azizah terhadap muslihat licik Sherina.

Namun, hari demi hari, Emilia semakin menyepi dan lebih banyak mengurung diri. Walaupun Amir terus berusaha mengembalikan semangatnya, kekecewaan Emilia semakin mendalam. Dalam perbualan yang menyentuh hati, Emilia akhirnya meluahkan kepada Amir bahawa dia merasakan Sherina masih menyimpan perasaan terhadapnya. Biarpun perasaan cemburu mula merasuk jiwanya, Amir tetap berjanji akan terus bersama Emilia dan tidak akan membiarkan Sherina mengganggu kehidupan mereka lagi.

Perjalanan hidup Emilia dan Amir kini dihantui oleh kesedihan, dendam, dan pengkhianatan. Pertarungan emosi ini bukan sahaja menguji kekuatan cinta mereka, malah mengancam untuk meruntuhkan segala harapan yang mereka bina bersama.

Dua kali saya mimpi pasal Sherina. Saya dapat rasa yang Sherina nak buat perkara yang tak baik dekat saya. Sherina cuba pikat awak balik kan? Cuma awak tak bagitau saya – Jelas Emilia.
Betul sayang, tapi sayang tak ada apa apa berlaku okay? Saya tak ada apa apa perasaan untuk dia. Kita hanya ex je, itu pun kita berjumpa untuk Adam je – Jawab Amir.
Itu cakap awak. Dia? – Kata Emilia
Patut dah lama saya halau dia daripada rumah ibu – Ujar Amir.
Itu yang sepatutnya lama dah berlaku- Jawab Emilia lagi.
Yes, betul dan sebab itu harini juga saya akan pergi dan saya akan halau dia – Jawab Amir sekali lagi.

Setelah mendengar penjelasan dari Emilia, Amir memutuskan untuk segera pergi ke rumah ibunya, Azizah, dengan niat menyelesaikan konflik yang menghimpit keluarganya. Setibanya di sana, dia disambut mesra oleh Sherina, yang menghidangkan secawan teh panas. Namun, tanpa sebarang rasa curiga, Amir meneguk teh tersebut, dan tidak lama kemudian rasa mengantuk luar biasa menguasai dirinya. Tanpa disedari, dia tertidur di sofa, tidak menyangka bahawa teh yang diminumnya adalah sebahagian daripada rencana jahat yang telah disusun rapi oleh Sherina.

Sherina, yang telah lama merancang saat ini, melihat peluang keemasan ketika Amir terlelap. Dengan licik, dia berbaring di pangkuan Amir, mencipta gambaran seolah-olah mereka sedang rapat. Lebih dari itu, Sherina segera menghubungi Emilia melalui panggilan video, berharap untuk memanipulasi perasaan Emilia dan menimbulkan kecemburuan. Emilia, yang menjawab panggilan tersebut, terkejut apabila melihat Sherina dan Amir dalam keadaan yang mencurigakan. Hatinya berdebar-debar dengan perasaan tidak selesa.

Tidak lama kemudian, Amir tersedar dari tidur, tetapi dalam keadaan yang separuh sedar, tubuhnya masih terasa lemah dan kepalanya berpusing. Walaupun begitu, tanpa mempedulikan kondisinya, dia tergesa-gesa keluar dari rumah. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Amir memandu keretanya, berusaha melawan rasa pening yang menyerang. Namun, tindakannya yang terburu-buru dan tidak berhati-hati akhirnya membawa bencana. Amir terlibat dalam kemalangan, meninggalkan semua pihak dalam keadaan panik dan cemas tentang apa yang akan terjadi seterusnya.

Jadi, bagaimanakah drama Mentua ini akan mencapai penghujungnya? Saksikan dua pengakhiran berbeza di dua platform, TV dan Tonton!  Mampukah cinta menundukkan segala pengkhianatan, atau akankah kebencian dan dendam menjadi noktah terakhir dalam kisah penuh konflik ini? Jangan ketinggalan untuk menonton Episod Akhir Mentua menerusi slot Lestary pada hari Jumaat ini, jam 9.00 malam di TV3 atau jika anda inginkan penamat yang lebih mendebarkan, saksikan versi eksklusif melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *