Emosi Galau Wany Hasrita Terpancar Dalam Single Terbaru, “Jahat”

Wany Hasrita, penyanyi kesayangan ramai, kembali memukau peminat dengan single terbaharu berjudul “Jahat”. Lagu ini bukan sahaja menyentuh perasaan, malah turut dijadikan runut bunyi rasmi (OST) untuk drama bersiri penuh emosi, “Pabila Dia Tersenyum”, terbitan Global Station Sdn Bhd, yang boleh ditonton secara eksklusif di platform penstriman Viu mulai 24 April. Single ini diterbitkan oleh Sony Music Malaysia. Menurut Wany, “Jahat” memberi peluang kepadanya untuk menyelami dimensi yang lebih mendalam dalam kerjaya muziknya, dengan membawa elemen emosi yang lebih matang dan penghayatan yang lebih mendalam.

Lagu ini juga menandakan kolaborasi pertama Wany bersama komposer terkenal Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt, dan Trakast. Gabungan ini memberikan warna baru dalam keseluruhan karya dan menjadikan ia lebih istimewa. Wany mendedahkan bahawa dia sudah lama mengimpikan untuk menyanyikan lagu pop balada yang benar-benar “galau”. “Sejujurnya, saya memang sudah lama menyimpan impian hendak menyanyikan lagu pop balada yang betul-betul ‘galau’. Pertama kali mendengar demo lagu ni, saya terus jatuh hati,” katanya dengan teruja. Proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa tiga jam, namun untuk menjiwai setiap bait lagu, Wany memberikan sepenuh emosi dan perhatian.

Muzik video (MV) untuk “Jahat” memperlihatkan naratif visual yang mendalam, menggambarkan seorang wanita yang kelihatan tenang di luar tetapi bergelora di dalam. MV ini dengan sempurna menyampaikan perasaan kekeliruan dan kesakitan akibat manipulasi emosi dalam perhubungan. Wany berkata bahawa dia tidak perlu berlakon kerana emosi dalam lagu itu datang secara semulajadi semasa rakaman video. Drama bersiri “Pabila Dia Tersenyum”, yang mengisahkan seorang gadis dibesarkan dalam keluarga penuh rahsia dan tragedi, memilih “Jahat” sebagai lagu tema rasmi. Drama ini sarat dengan tema penderitaan, cinta, dan kekuatan wanita, menjadikan pemilihan lagu ini sebagai OST satu penghormatan besar bagi Wany.

Harapan Wany untuk “Jahat” adalah agar lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, terutama mereka yang sedang melalui fasa kekecewaan dalam perhubungan. “Lagu ni memang berat dari segi emosi, tetapi saya percaya dalam setiap lagu sedih pun ada keindahan dan kekuatannya tersendiri,” tambah Wany. Single “Jahat” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music, dan banyak lagi. MV rasmi lagu ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Wany Hasrita.