Ejen Ali The Movie 2 Kini di Netflix, Raikan dengan MV Eksklusif “Hanya Kamu”!

Misi Ejen Ali masih aktif! Filem animasi mega tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini rasmi menemui penonton di platform penstriman global Netflix, membuka peluang lebih luas untuk peminat antarabangsa merasai kehebatan karya animasi buatan Malaysia.

Bagi meraikan pencapaian ini, pihak produksi turut melancarkan muzik video rasmi “Hanya Kamu” nyanyian legenda Datuk M. Nasir pada malam ini, jam 8.00 malam di saluran YouTube rasmi Ejen Ali. Muzik video tersebut diarahkan oleh Ghazi Maslan, dan menampilkan elemen sinematik unik bermula dengan transmisi mesej khas dari organisasi MATA yang diaktifkan sendiri oleh Datuk M. Nasir, sebelum memaparkan semangat ejen-ejen muda dalam menyahut panggilan misi. Selingan babak penuh aksi daripada filem turut dipersembahkan untuk membangkitkan emosi penonton.

Lebih istimewa, kemunculan Azri Yunus selaku komposer dan penulis lirik lagu “Hanya Kamu” menyerlahkan kekuatan kreativiti di sebalik karya penuh inspirasi ini. Lagu tersebut mengetengahkan mesej keberanian, keyakinan diri, dan semangat generasi muda untuk bangkit sebagai versi terbaik mereka nilai yang seiring dengan perjalanan emosi dan konflik watak utama dalam filem EATM2.

Untuk rekod, Ejen Ali The Movie 2 telah meraih kejayaan luar biasa dengan kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand. Filem ini turut mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan antarabangsa melalui pencalonan dalam kategori Filem Animasi Terbaik di Silk Road International Film Festival ke-12 yang berlangsung di Fuzhou, China baru-baru ini.

Kini, dengan penayangan di Netflix dan pelancaran muzik video eksklusif, EATM2 terus membuktikan bahawa animasi tempatan mampu bersaing di peringkat global.

Jangan lepaskan peluang untuk strim Ejen Ali The Movie 2 di Netflix mulai hari ini, dan saksikan pelancaran muzik video rasmi “Hanya Kamu” di YouTube Ejen Ali tepat jam 8 malam ini!