EJEN ALI: MISI LAMA, SEMANGAT BARU! THROWBACK SEBELUM TAYANGAN 22 MEI INI!

Tarikh keramat 22 Mei 2025 bakal menyaksikan kemunculan Ejen Ali The Movie 2 di pawagam seluruh negara! Tapi sebelum anda bersedia menyertai Ali dalam misi terbesarnya setakat ini, mari kita selusuri semula perjalanan penuh warna-warni, konflik dan keberanian yang membentuk Ali menjadi wira Cyberaya yang kita kenali hari ini.

Daripada musim sulung hingga musim ketiga, termasuk filem pertama yang menyayat hati dan menggetarkan jiwa semuanya telah membuka jalan untuk klimaks hebat yang bakal menyusul. Ini waktunya untuk ‘refresh memory’ anda!

Musim Pertama: Permulaan Tak Disangka

Hidup Ali berubah sekelip mata hanya kerana membeli nasi lemak tempoyak udang dalam perjalanan ke sekolah! Secara tak sengaja, dia mengaktifkan IRIS, alat teknologi canggih milik MATA, dan direkrut sebagai ejen muda. Bersama Ejen Bakar dan Alicia, Ali berdepan dengan ancaman serius daripada Uno, musuh licik yang menyimpan dendam terhadap MATA. Dunia siber Cyberaya yang sebelum ini kelihatan futuristik dan tenang, rupanya penuh muslihat di belakang tabir.

Musim Kedua: Akademi, Ujian & Kepercayaan

Ali diterima masuk ke Akademi MATA tempat di mana masa depan perisik cilik dibentuk. Namun, perjalanannya tidak mudah. Di sebalik latihan lasak dan perbandingan dengan rakan lain, Ali bergelut untuk menyesuaikan diri. Persahabatan diuji, keyakinan goyah, dan pada masa sama, ancaman dari Uno dan pasukan Numeros kembali menghantui MATA. Ketika itulah Ali mula belajar bahawa menjadi ejen bukan sekadar tentang kuasa, tapi tentang hati dan kepercayaan.

Filem Pertama (2019): Kebenaran Menyakitkan

Kehadiran IRIS Neo menggoncang peranan Ali. Apabila alat perisikan itu kini boleh dikendalikan oleh orang lain, Ali mula berasa terpinggir. Di saat dia hilang arah, muncul seorang individu misteri Niki yang membawanya ke dunia Pinggiran, kawasan tersembunyi yang memerlukan pembela. Dalam dilema antara taat kepada MATA atau memilih jalan kebenaran yang lebih peribadi, Ali mengharungi konflik yang paling berat dalam hidupnya.

Musim Ketiga: Demi Ibu, Demi Cyberaya

Setelah dilucutkan hak mengendali IRIS, Ali berusaha menebus dirinya melalui pertandingan Arena MATA. Tanpa disedari, pertandingan ini sebenarnya medan pencarian pengendali IRIS yang baharu. Ali terkejut apabila mengetahui ibunya, Aliya, merupakan salah seorang pemenang terdahulu dan pencipta IRIS. Ketika dia berjuang membina semula kepercayaan MATA, muncul pula ancaman dari Rizwan dan Cinco yang ingin meneruskan legasi Uno. Kini, lebih dari sekadar misi ia adalah soal warisan dan pilihan.

Ejen Ali The Movie 2 – Pawagam 22 Mei 2025

22 Mei 2025 bakal menjadi detik penting buat semua peminat misi ke pawagam anda akan bermula bersama Ejen Ali The Movie 2! Kali ini, Ali kembali dengan cabaran yang jauh lebih besar dan emosi yang lebih mendalam dalam usaha mempertahankan Cyberaya. Aksi penuh mendebarkan dipersembahkan dalam animasi yang memukau, menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan di layar lebar. Sudah bersedia untuk sertai misi ini? Jangan ketinggalan untuk tonton treler rasmi terbaharu di pautan berikut: https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ. Kongsikan keterujaan anda dan sambut kepulangan Ejen Ali dengan penuh semangat! Gunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #SatriaBangkit untuk meriahkan lagi perbualan di media sosial bersama komuniti peminat Ejen Ali seluruh negara.