Bersedia untuk sebuah pesta muzik yang luar biasa! Hitman Solutions, penganjur konsert terulung di Malaysia, telah berganding bahu bersama Boss Creator dari Indonesia untuk menganjurkan Latihan Pestapora Malaysia yang akan berlangsung pada 26 Julai 2025. Acara ini merupakan ‘preview’ istimewa kepada festival utama Pestapora yang saban tahun berlangsung di Jakarta. Pengumuman rasmi barisan artis untuk fasa pertama telah dibuat dalam satu Sidang Media Khas pada siang tadi di The Campus Ampang, disertai oleh barisan artis dan pihak penganjur.
Teka-teki akhirnya terjawab apabila nama-nama besar dari Indonesia diumumkan bakal menggegarkan pentas Malaysia buat julung kalinya. Antaranya ialah .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas semuanya dikenali dengan keunikan gaya dan kuasa pentas yang tersendiri. Tidak ketinggalan, barisan artis tempatan turut diberi ruang seimbang dengan kemunculan nama-nama seperti Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.
Menampilkan pelbagai genre seperti pop, rock, alternatif, hip-hop dan indie, Latihan Pestapora Malaysia menjanjikan pengalaman muzik yang merentasi sempadan, menghimpunkan peminat dari kedua-dua negara dalam satu suasana penuh magis dan semangat serumpun.

“Setiap tahun ribuan peminat Pestapora dari Malaysia akan ke Jakarta. Melihat keupayaannya menyatukan orang ramai melalui muzik, kami mahu rakyat Malaysia turut merasai magisnya,” ujar Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group. Malah, lebih daripada 2,000 tiket telah terjual sebelum sebarang pengumuman lineup dibuat, membuktikan kepercayaan tinggi terhadap jenama Pestapora sebagai festival muzik yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform seni, komuniti dan budaya.
Menurut Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan pengasas bersama Boss Creator, penganjuran di Malaysia ini adalah satu langkah baru. “Kami lihat potensi besar Pestapora di Malaysia. Harapannya, Latihan Pestapora boleh menjadi fasilitator untuk para penggiat seni dan komuniti dari kedua-dua negara menonjolkan karya kepada peminat masing-masing.”
Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar konsert biasa ia satu perayaan budaya Nusantara melalui muzik. Ia juga menjadi ‘pemanas badan’ bagi mereka yang bakal terbang ke Jakarta untuk edisi utama September nanti, atau bagi peminat di sini yang mahu merasai suasana festival serumpun yang autentik.
Maklumat tiket bagi Latihan Pestapora Malaysia 2025 adalah seperti berikut, harga tiket bagi kategori General Admission bermula dari RM129, manakala Rockzone ditawarkan dari RM199 ke atas untuk pengalaman lebih dekat dengan pentas. Tiket untuk kanak-kanak pula berharga RM70, dan bagi yang ingin mengelakkan barisan panjang, akses Express Lane boleh ditambah dengan bayaran tambahan sebanyak RM100. Pembelian tiket boleh dilakukan menerusi laman web rasmi di www.latihanpestaporamalaysia.com. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian +6012-2655783 atau emel ke concerts@hitman.group.
Rakan Rasmi Latihan Pestapora Malaysia 2025 termasuk ERA FM, ERA Sarawak, ERA Sabah, HITZ FM, SINAR FM, MIX, THR Gegar, SYOK (Rakan Radio Rasmi), World of Buzz dan Lobak Merah (Rakan Media Rasmi), Batik Air dan BookCabin (Rakan Pelancongan), Sunway Putra Hotel (Hotel Rasmi), Universal Music Malaysia (Sokongan), Tapao Fest (Rakan Strategik) dan The Campus Ampang (Lokasi Sidang Media Rasmi).