Dulu Pelakon, Kini Penyanyi Serius!

Shatirah Amanda melangkah ke usia 25 tahun dengan penuh makna apabila tampil dengan single terbaharu bertajuk Kasih Tersayang, sebuah karya ciptaan sepenuhnya oleh beliau dari segi melodi dan lirik. Lagu bergenre pop ini menyentuh erti kasih sayang yang universal bukan sekadar untuk kekasih, malah juga keluarga, sahabat, dan haiwan peliharaan. Amanda menggunakan karya ini untuk menzahirkan pengalaman peribadi serta memecahkan stereotaip tentang cinta dalam masyarakat.

Kasih Tersayang mula dilancarkan pada 5 Mei 2025 dan kini boleh didengar di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, iTunes, KKBox, Tidal dan Deezer. Lagu ini juga mencerminkan kematangan Amanda sebagai seorang pencipta lagu dan penyanyi yang ingin lebih dekat dengan pendengar dari pelbagai lapisan.

Di bawah naungan SA International, Amanda komited untuk memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian meskipun sering menerima tawaran lakonan termasuk dalam drama popular seperti Bunga Salju dan Bila Takdir Melarang Cinta. Menurut Amanda, dia tidak menolak lakonan sepenuhnya tetapi keutamaannya kini adalah membina nama sebagai penyanyi.

Menerusi lagu ini, Amanda berharap untuk membuka peluang baharu dalam kerjayanya termasuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa. Beliau turut menyatakan rasa teruja dan gementar kerana ini merupakan karya sulungnya sebagai pencipta lagu. Untuk perkembangan lanjut, peminat boleh mengikuti Shatirah Amanda di Instagram @shatirahamanda dan TikTok melalui akaun @shatirahamanda
. – Tehtariktimes