Dua Watak, Satu Takdir: Tracie Sinidol Bersinar Dalam Hilang Dalam Rindu

Sebuah drama penuh teka-teki dan menyayat hati bakal menemui penonton TV3 menerusi slot Samarinda tidak lama lagi. Hilang Dalam Rindu, sebuah naskhah arahan Along Kamaludin dan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, bakal menemui penonton bermula 17 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my.

Mengangkat tema cinta, kehilangan dan pencarian jati diri, drama bersiri 20 episod ini menampilkan pelakon berbakat Tracie Sinidol, bergandingan bersama Jazmy Juma, Qistina Rania, dan Zarif Ghazzi. Penonton akan dibawa menelusuri kisah Aira Nadira, seorang wanita yang terpaksa menyusun kembali kepingan memorinya yang hilang demi mencari kebenaran yang menyesakkan dada.

Selepas tersedar dari koma, Aira tidak lagi mengingati sepuluh tahun terakhir hidupnya. Lebih mengelirukan, dia kini adalah isteri kepada Nadim Eijaz, seorang lelaki dingin yang tidak menunjukkan sebarang kasih sayang padanya. Rumah tangga yang kelihatan sempurna dari luar rupanya dipenuhi konflik dan rahsia gelap yang membayangi perkahwinan mereka.

Kisah Aira terungkai satu demi satu apabila dia mula mengalami imbasan memori dan dibayangi hubungan tegang dengan adik iparnya. Dalam kekeliruan itu, muncul benih cinta yang perlahan-lahan tumbuh di antara dua insan yang asing – namun kebenaran yang terpendam berpotensi menghancurkan segalanya. Aira berdepan dilema besar – bangkit melawan sejarah yang menghantui atau berdamai dengan masa lalu untuk mencipta hidup yang baru.

“Aira sebelum koma sangat berbeza dengan Aira selepas koma,” ujar Tracie Sinidol, berkongsi tentang cabaran menjayakan watak utamanya. “Saya perlu menghidupkan dua sisi yang berlawanan – seorang wanita penuh dendam dan amarah, dan satu lagi yang kosong, lembut serta keliru. Ia menguji keupayaan saya sebagai pelakon, namun sangat berbaloi kerana watak ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam.”

Apakah Aira akan menemui jawapan kepada persoalan yang menghantuinya? Siapakah dia sebenarnya – dan mengapa ramai yang membencinya, termasuk pada saat dia tidak mampu mengingati siapa dirinya?

Hilang Dalam Rindu bukan sekadar drama cinta biasa. Ia adalah kisah tentang pencarian identiti, kekuatan seorang wanita dan makna sebenar penebusan. Jangan lepaskan peluang menyaksikannya bermula minggu hadapan hanya di TV3.

Ikuti perkembangan terkini drama ini di media sosial TV3 menerusi Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta akaun @dramasangat untuk kandungan eksklusif. – Tehtariktimes