Drama Slot Lestary TV3 ‘Antara Dua Syurga’, Mampukah Persahabatan Kekal Utuh?

Apabila kesetiaan dalam persahabatan diuji dengan kehadiran seorang wanita, mampukah tercipta pengakhiran bahagia untuk semua pihak? Antara Dua Syurga, sebuah drama penuh tarikan dengan nilai Islamik, bakal menghiasi Slot Lestary TV3 bermula Januari ini. Dengan tema persahabatan, persaingan, keimanan, dan dilema hubungan manusia, drama ini menjanjikan perjalanan emosi yang mendalam dan konflik kehidupan yang penuh dengan pengajaran.

Drama 8 episod terbitan Lumatic Films, arahan hebat Faliq Sharif, ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Nabil Aqil, Tracie Sinidol, Zarif Ghazzi, Steve Yap, Liza Abdullah, dan ramai lagi. Ia mengangkat kisah dua sahabat karib yang diuji dalam persahabatan mereka apabila cinta tiga segi mengundang konflik di antara mereka.

Antara Dua Syurga bermula dengan kisah Firdaus (Nabil Aqil) dan Naim (Zarif Ghazzi), dua rakan karib yang berjaya dan kreatif dalam bidang pengiklanan. Bersama-sama, mereka sering menarik klien-klien besar untuk agensi mereka. Namun, cabaran muncul apabila mereka diberi tugas penting untuk mendapatkan kerjasama dari Azami Food Industries, yang diketuai oleh ketua pemasaran yang tegas, May Wong (Tracie Sinidol).

Dalam usaha mereka untuk memikat hati May dan memenangi kontrak tersebut, Firdaus dan Naim merancang pelbagai strategi. Mereka menyedari bahawa minat May terhadap Islam membuka peluang untuk mereka mendekatinya secara lebih personal. Seiring dengan interaksi mereka, hubungan profesional perlahan-lahan bertukar lebih peribadi, dan kedua-duanya mulai tertarik kepada May. Situasi ini mencetuskan konflik dalam persahabatan mereka yang selama ini erat.

Setelah memeluk Islam, May memilih nama Jannah, membawa perubahan besar dalam hidupnya. Nama yang bermaksud ‘Syurga’ ini menjadi simbol perjalanan spiritualnya. Hubungan antara Jannah, Firdaus, dan Naim semakin rapat, namun turut mencetuskan konflik mendalam. Dalam masa yang sama, kemunculan Zain Rizman (Steve Yap), ketua agensi pesaing yang licik, memperburuk keadaan dengan sabotajnya terhadap usaha Firdaus dan Naim.

Rahsia pertemuan Firdaus dan Naim dengan Jannah secara berasingan akhirnya terbongkar, menyebabkan ketegangan yang tidak dapat dielakkan. Firdaus dan Naim terpaksa membuat keputusan untuk membiarkan Jannah menentukan pilihannya sendiri. Persoalan mula timbul: mampukah cinta sejati bertahan tanpa merosakkan persahabatan?

Konflik terus memuncak apabila kedua-duanya berlumba-lumba mendapatkan perhatian Jannah, sehingga menyebabkan hubungan mereka semakin renggang. Dengan taktik Zain yang semakin mencabar, Firdaus dan Naim harus berjuang bukan sahaja untuk cinta tetapi juga untuk mempertahankan reputasi kerjaya mereka.

Siapakah yang akan menjadi pilihan Jannah? Adakah persahabatan lama dapat diselamatkan, atau ia akan musnah kerana cinta? Antara Dua Syurga membawa penonton melalui kisah penuh emosi, nilai persahabatan, dan keindahan iman yang membawa sinar baru dalam hidup setiap watak.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan episod pertama Antara Dua Syurga, bermula 3 Januari 2025 ini, setiap Jumaat dan Sabtu jam 9.00 malam di Slot Lestary TV3! Untuk tontonan lebih awal, strim 24 jam lebih awal hanya di Tonton melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.

Ikuti juga perkembangan terkini di laman sosial rasmi TV3 Malaysia di @TV3Malaysia di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram. Jangan lupa untuk menggunakan hashtag #AntaraDuaSyurga untuk berkongsi pandangan dan momen anda sepanjang drama ini bersiaran!