Drama ‘SENYAWA’ Konflik Kekeluargaan dan Pengorbanan Terlarang

Isu yang jarang dibincangkan dalam masyarakat, terutama di kalangan umat Islam, kini bakal menjadi tumpuan menerusi drama bersiri baharu bertajuk ‘SENYAWA’, yang akan ditayangkan pada 25 Oktober 2024.

Drama ini mengetengahkan dilema moral dan pengorbanan yang jarang diperkatakan – isu ibu tumpang – yang pastinya akan mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton. iQIYI, platform penstriman popular di Asia, sekali lagi membawa karya tempatan berkualiti melalui drama ini, yang menampilkan barisan pelakon berbakat besar termasuk Trisha Ooi, Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan, dan ramai lagi. Drama ini diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Eyra Rahman.

‘SENYAWA’ mengisahkan Zabrina, seorang wanita berkerjaya cemerlang yang kelihatan menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia, namun berdepan konflik dalaman yang besar. Watak Zabrina, dilakonkan oleh Trisha Ooi, menunjukkan perjuangan seorang wanita yang mahukan anak setelah beberapa kali keguguran. Selepas berkahwin dengan Iskandar, watak yang dibawa oleh Shahz Jaszle, Zabrina mengalami keguguran akibat masalah ‘cervical insufficiency’, sejenis komplikasi kehamilan yang menyebabkan sukar untuk melahirkan anak. Tekanan semakin bertambah apabila ibu mertuanya, Dato’ Asmida (Datin Nina Juren), mendesak agar mereka segera memberikan cucu, membuatkan Zabrina terpaksa mencari alternatif lain untuk menyelamatkan perkahwinannya.

Senyawa

Dalam keputusasaan, Zabrina bertemu dengan Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa), seorang gadis kampung yang mempunyai sifat-sifat yang mirip dengannya. Zabrina merasakan bahawa Lutfiyah adalah calon terbaik untuk menjadi ibu tumpang bagi melahirkan anak yang diidamkannya. Walau bagaimanapun, keputusan ini mengheret Zabrina, Iskandar, dan Lutfiyah ke dalam konflik emosi dan agama yang lebih mendalam. Drama ini memperlihatkan bagaimana ketiga-tiga watak terpaksa berhadapan dengan persoalan moral yang tidak mudah, di mana batas-batas agama diuji.

Trisha Ooi, dalam satu temubual, mengakui bahawa memegang watak Zabrina merupakan cabaran besar bagi dirinya. “Watak Zabrina sangat kompleks dan memerlukan persiapan mental yang rapi. Saya banyak berbincang dengan pengarah, Eyra Rahman, untuk memahami lebih mendalam tentang watak ini. Zabrina adalah seorang wanita yang tampak kuat di luar, tetapi sangat rapuh di dalam. Saya harap penonton dapat merasai segala perasaan yang dibawakan melalui watak ini,” kata Trisha.

Shahz Jaszle, yang melakonkan watak suami kepada Zabrina, berkongsi pengalaman berlakon dalam drama ini yang membawakan isu ibu tumpang. “Ini adalah kali pertama saya berlakon dalam cerita yang melibatkan isu kontroversi seperti ini. Watak Iskandar memerlukan saya untuk menyelami perasaan seorang suami yang sangat menyayangi isterinya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kebahagiaannya, termasuk perkara yang mungkin dilarang dalam agama. Drama ini mengingatkan kita tentang betapa pentingnya peranan suami sebagai pemimpin dalam keluarga, terutamanya dalam mematuhi batas-batas agama.”

Siti Hariesa, yang memegang watak Lutfiyah, pula menyatakan bahawa drama ‘SENYAWA’ memberikan banyak pengajaran yang berguna. “Watak saya membawa pelbagai cabaran tersendiri. Dalam perhubungan, ketelusan dan kejujuran sangat penting. Apabila seseorang memilih untuk menyimpan rahsia atau tidak berterus-terang, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar. Drama ini juga mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga agama dan moral dalam membuat keputusan besar dalam hidup.”

Pengarah drama, Eyra Rahman, turut menyatakan bahawa drama ini membawakan isu yang sangat berat dan kontroversial. “Saya memilih untuk mengangkat isu ibu tumpang kerana ia adalah satu topik yang jarang dibincangkan dalam masyarakat kita, terutama sekali dari sudut pandangan agama. ‘SENYAWA’ cuba menunjukkan bagaimana tekanan hidup dan keinginan untuk memenuhi harapan orang lain kadang-kala boleh membuat seseorang tersasar dan memilih jalan yang salah. Drama ini adalah satu peringatan tentang betapa pentingnya kita mematuhi hukum agama dalam setiap tindakan yang kita ambil.”

En. Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, menyatakan harapannya agar drama ‘SENYAWA’ mendapat sambutan yang baik daripada penonton. “Sebagaimana drama-drama iQIYI sebelum ini, kami berharap agar ‘SENYAWA’ mampu memberikan pengalaman yang bermakna kepada penonton. Drama ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa mesej penting tentang moral dan agama yang boleh dijadikan iktibar oleh semua.”

Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama ‘SENYAWA’ yang akan mula disiarkan pada 25 Oktober 2024, setiap Jumaat dan Sabtu jam 9:00 malam di iQIYI. Muat turun aplikasi iQIYI di peranti anda sekarang, taipkan ‘SENYAWA’ dan klik ‘Pesan’ untuk menerima peringatan awal supaya anda tidak ketinggalan menonton episod pertama yang penuh emosi dan pengajaran ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *