Drama “Keluarga Itu” kuasai Malaysia: No.1 drama Melayu, No.7 Google Trends 2025

Keluarga Itu sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai drama Melayu paling berpengaruh apabila dinobatkan sebagai Drama Melayu No. 1 tahun ini. Lebih membanggakan, drama ini turut berjaya menembusi carta Google Trends 2025 sebagai antara carian paling tular dalam kategori drama, berada di tangga No. 7 keseluruhan. Pencapaian ini membuktikan bahawa TV3 terus menjadi stesen pilihan penonton, menerajui arena drama Melayu dengan karya yang berkualiti dan dekat di hati rakyat.

Kekuatan Keluarga Itu hadir melalui sentuhan kreatif dan arahan teliti Erma Fatima, yang berjaya menyampaikan penceritaan penuh konflik, kasih sayang dan dilema keluarga secara realistik. Barisan pelakon mantap seperti Dato’ Rosyam Nor, Datin Sri Umie Aida, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Fattah Amin, Izara Aishah, Muaz Zabir, Duerra Mitilda dan Melissa Campbell menghidupkan setiap watak dengan begitu meyakinkan sehingga setiap babak memberi kesan mendalam kepada penonton. Reaksi positif membanjiri media sosial, dengan ramai yang menyifatkan drama ini sebagai “paling real tahun ini,” “keserasian pelakon luar biasa” dan “setiap episod penuh emosi.”

Salah satu aspek yang paling mendapat perhatian ialah lakonan Dato’ Rosyam Nor. Wataknya mencetuskan pelbagai emosi, daripada kagum kepada ‘geram’, membuktikan impak kuat watak tersebut serta keupayaan penceritaan yang membuat penonton benar-benar tenggelam dalam perjalanan drama itu.

Fenomena Keluarga Itu mengesahkan bahawa TV3 bukan sekadar menghasilkan drama, tetapi sebuah institusi yang membentuk budaya, mencetuskan perbualan dan mencorakkan nadi hiburan negara. Dengan sambutan yang konsisten dan momentum digital yang terus meningkat, TV3 kekal sebagai peneraju drama Melayu, mencabar norma dan menetapkan standard tinggi dalam industri.

Untuk perkembangan terkini drama-drama kegemaran penonton, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram Drama Sangat di @dramasangat.

Keluarga Itu terus membuktikan pengaruhnya sebagai fenomena drama negara, merangkul gelaran Drama Melayu No.1 dan tersenarai No.7 dalam Google Trends 2025 sebagai antara carian paling tular tahun ini.