Debaran Memuncak! 4 Juta Penonton Dijangka Saksi Kesudahan Keluarga Itu

Episod terakhir drama fenomena Keluarga Itu bakal menemui penonton pada 9 Mei 2025, jam 9.00 malam di TV3. Penutup yang dijangka penuh debaran, emosi dan kejutan ini dijangka menarik lebih 4 juta tontonan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara drama tempatan paling berpengaruh tahun ini.

Sejak bersiaran, Keluarga Itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial teori peminat bersilih ganti, teka-teki watak yang menimbulkan rasa ingin tahu, serta plot yang sarat emosi dan konflik dalaman. Setiap minggu, penonton setia disajikan dengan babak-babak mencengkam yang meninggalkan pelbagai persoalan.

Kini, persoalan terbesar yang menghantui penonton: siapa sebenarnya yang membunuh Jihad? Mhia, yang semakin tidak keruan? Aman, yang hilang arah? Boy, yang tidak pernah menyembunyikan niat jahat? Atau Iman suami yang tampak mulia namun menyimpan sisi gelap? Setiap watak memiliki sebab tersendiri, dan jawapan akhirnya bakal terungkai.

Konflik Cempaka dan Iman pula memasuki fasa paling gelap apabila Cempaka sendiri menyaksikan kejahatan suaminya terhadap Dhini. Lebih memilukan, Iman meletakkan kesalahan pada Cempaka dengan alasan tidak ‘memberi’ seperti diminta. Rumah tangga yang dulunya bahagia kini musnah akibat pengkhianatan dan kekejaman yang tidak terjangka.

Adakah Cempaka akan kekal tegas menuntut keadilan? Atau akan terpedaya sekali lagi oleh Iman? Penonton bakal menyaksikan keputusan yang mungkin mengubah seluruh naratif drama ini.

Episod akhir ini bukan sekadar menutup kisah, tetapi menjadi detik penentu nasib watak-watak utama. Dengan spekulasi yang semakin hangat dan minat yang tidak surut, penamat Keluarga Itu dijangka mencetus perbualan hangat di kalangan peminat drama tanah air.

Jangan lupa temujanji anda bersama episod terakhir Keluarga Itu pada malam esok, jam 9.00 malam hanya di TV3. Untuk perkembangan lanjut, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram, Twitter, Facebook dan YouTube.