Dato’ Sri Siti Nurhaliza Mengimbau Perjalanan Seni Melalui Lagu ‘Sejarah’

Penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, secara rasmi melancarkan single terbaharunya berjudul Sejarah dalam satu majlis istimewa di The Roomah, Solaris Dutamas. Pelancaran ini menandakan momen bersejarah buat Siti Nurhaliza yang bakal mencapai 30 tahun dalam industri muzik Malaysia.

Sejarah dihasilkan oleh komposer ternama Indonesia, Erwin Gutawa, dengan lirik yang ditulis oleh anaknya, Gita Gutawa. Lagu ini membawa sentuhan istimewa kerana ia dicipta khusus untuk Siti, menggambarkan perjalanan penuh makna dan pengalaman beliau sepanjang tiga dekad dalam industri. Menurut Erwin, lagu ini lahir daripada penghargaan terhadap keindahan vokal dan personaliti Siti yang tersendiri.

Gita Gutawa pula menulis lirik berdasarkan konsep kesyukuran dan kekayaan pengalaman hidup, menjadikan Sejarah sebagai penghormatan kepada setiap fasa kehidupan dan kerjaya Siti. Keunikan lagu ini turut dikuatkan dengan iringan Czech Symphony Orchestra, yang memberikan sentuhan orkestra yang megah dan emosional.

Sejarah adalah lagu yang membawa saya mengimbau setiap langkah perjalanan seni saya. Dari mula menyanyikannya, saya dapat merasakan pelbagai memori indah yang tersemat sepanjang karier saya. Terima kasih kepada Erwin Gutawa atas karya hebat ini,” kata Siti Nurhaliza.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Aubrey Suwito yang bertanggungjawab mengendalikan rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.

Single Sejarah, yang diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd, sudah mula tersedia di semua platform penstriman digital sejak 14 November 2024.

Pelancaran ini juga menjadi platform Siti untuk meraikan pihak media yang telah menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan seni beliau. “Media bukan sahaja sahabat tetapi juga keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu saya dikenali oleh masyarakat,” ujar Siti dengan penuh penghargaan.

Bagi menghargai sokongan ini, satu sesi cabutan bertuah dan pemberian cenderahati khas diadakan bagi meraikan kehadiran para media. Sebagai tanda penghargaan tambahan, Universal Music turut menyampaikan plak khas kepada Siti atas gelaran Biduanita Negara serta pelancaran single Sejarah.

Dengan pelancaran Sejarah, Siti Nurhaliza menutup tirai 2024 dengan sebuah karya penuh emosi dan simbolik yang menjadi bukti kecemerlangan dan dedikasi beliau terhadap industri muzik tanah air.