Dari Rahim Yang Sama – Nabila Huda Cipta Watak Ibu Paling Kejam, Sanggup Tolak Anak Kandung!

Sebuah naskhah penuh emosi berjudul Dari Rahim Yang Sama bakal menemui penonton menerusi slot Samarinda bermula 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Drama menyayat hati ini membuka lembaran kisah tentang pengorbanan, harapan dan nilai kasih sayang yang tulus, sekali gus mengangkat realiti hidup segelintir masyarakat marhaen yang sering dipinggirkan.

Naskhah terbitan Anomali Media, arahan Amor Rizan dan hasil nukilan skrip oleh Naza Manas ini bukan sekadar hiburan, malah mampu mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu sosial yang jarang dibicarakan. Turut membariskan pelakon hebat tanah air seperti Nabila Huda, Mhia Firdaus, Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan, dan Kahoe Hon, drama ini menjanjikan lakonan penuh penghayatan yang akan menyentuh hati penonton.

Mengangkat isu identiti dan pengorbanan seorang kakak, drama ini mengisahkan Balqis (Mhia Firdaus), remaja yang membesarkan dua adiknya Aqil dan Afiq tanpa sijil kelahiran. Ibu mereka, Suraya (Nabila Huda), seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai GRO, tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu. Sebaliknya, dia sering mengabaikan anak-anaknya dan mempergunakan Balqis untuk menguruskan rumah dan membesarkan adik-adiknya, dalam keadaan serba kekurangan tanpa dokumen sah.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila Suraya mengaku sengaja tidak mendaftarkan kelahiran anak-anaknya, kerana takut Balqis akan meninggalkannya suatu hari nanti. Pengakuan ini mengubah segala-galanya buat Balqis. Kini, perjuangan Balqis untuk mencari harapan dan masa depan yang lebih baik untuk mereka bertiga berhadapan dengan cabaran besar.

Watak kejam Suraya yang dilakonkan Nabila Huda dijangka mencetuskan pelbagai reaksi emosi daripada penonton. Drama ini turut dibintangi oleh Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan dan Kahoe Hon.

Dari Rahim Yang Sama membuka mata masyarakat terhadap isu anak tidak sah taraf dan kecuaian ibu bapa, sekaligus menjadi suara kepada golongan yang sering terpinggir.

Saksikan drama ini setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di TV3. Tayangan awal turut boleh distrim 24 jam lebih awal di platform Tonton. Untuk info terkini, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di media sosial.