Dari Borneo ke Seluruh Malaysia: Visi, Kandungan Baharu & Peluang Penajaan 2026

TV Sarawak (TVS), stesen televisyen pertama dari Bumi Kenyalang yang kini berkembang pesat di peringkat nasional, terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform media dinamik melalui penganjuran sidang media eksklusif “TVS Spotlight 25/26”. Acara ini menjadi landasan penting untuk menyingkap visi, hala tuju dan strategi TVS bagi tahun 2026, termasuk memperkenalkan rangkaian program baharu serta peluang penajaan bersepadu untuk klien dan rakan strategik.

Sejak mula bersiaran pada tahun 2020, TVS konsisten mengangkat identiti Borneo ke peringkat nasional melalui kandungan yang meraikan budaya dan warisan tempatan. Dengan gabungan kekuatan penyiaran tradisional dan digital, TVS kini berjaya menjangkau penonton di seluruh Malaysia dan rantau ASEAN.

Menurut Dato’ Norhyati Ismail, Pengerusi & Presiden TVS / Sarawak Media Group (SMG), objektif utama TVS adalah untuk meningkatkan brand visibility di pasaran nasional selain memperkenalkan kandungan segar bagi 2026. “Melalui pengenalan program dan peluang penajaan ini, kami berharap dapat menarik lebih ramai rakan kongsi baharu, sekali gus memperkukuh pengaruh TVS di peringkat serantau dan nasional,” jelas beliau.

Bagi tahun 2026, TVS bakal memperkenalkan pelbagai kandungan baharu termasuk Gerak Khas 2.0, drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari serta liputan acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao. Inisiatif ini sejajar dengan matlamat TVS untuk menjadi media yang memahami dinamik Borneo sambil menghubungkan penonton ke seluruh Malaysia.

Sebagai saluran yang meraikan budaya dan identiti Borneo, TVS terus menampilkan program yang memaparkan warisan tempatan seperti Sarawak Regatta dan Sambutan Perayaan Gawai. Kandungan sebegini bukan sahaja memperkukuh daya tarik TVS di kalangan penonton Sarawak, malah berjaya menawan hati penonton di seluruh Malaysia serta rantau ASEAN.

Dalam aspek komersial, TVS memperkenalkan pakej penajaan 360° yang merangkumi platform televisyen, digital, sosial dan papan iklan LED. Kolaborasi bersama rakan media seperti Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM menjadikan TVS sebagai platform pengiklanan menyeluruh yang berupaya meningkatkan capaian jenama secara bersepadu. “Jenama anda bukan sahaja akan dilihat di satu skrin, tetapi di setiap skrin – sama ada di rumah, dalam talian atau di jalan raya,” tegas Dato’ Norhyati.

Selain itu, TVS juga memainkan peranan dalam mengukuhkan ekosistem kreatif negara dengan memberi peluang luas kepada produksi tempatan dan bakat baharu. Sehingga kini, lebih 300 vendor tempatan telah bekerjasama dengan TVS, sekali gus mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk anak seni dan karyawan tempatan.

Dengan penonton sasaran yang meliputi seluruh Malaysia serta capaian digital yang semakin meluas, TVS yakin mampu memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama industri penyiaran Malaysia. “Kami percaya TVS Spotlight 25/26 akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan rakan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” akhiri Dato’ Norhyati.