Dari Bandar ke Kampung: Pengembaraan Ramadan Syafiq dalam Mr. Perfect Ramadan

Apabila seorang anak bandar yang memberontak dipaksa menjalani Ramadan di kampung, mampukah 30 hari penuh cabaran mengubah pandangannya tentang hidup, keluarga, dan cinta? Mr. Perfect Ramadan, sebuah drama bersiri mikro berunsur komedi romantik, bakal menemui penonton bermula 19 Februari, disiarkan setiap hari jam 12.00 tengah hari secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan platform Tonton.

Drama ini dibintangi oleh Muaz Zabir, Ariana Yusof, dan Sabri Yunus, serta mengetengahkan kisah ringan namun sarat dengan nilai kekeluargaan, keimanan, dan kasih sayang yang terbit secara semula jadi sepanjang bulan Ramadan. Dengan latar suasana kampung dan momen-momen manis yang mencuit hati, Mr. Perfect Ramadan menjanjikan tontonan yang menghiburkan sambil menyentuh perasaan penonton.

Cerita mengisahkan Syafiq (Muaz Zabir), seorang pemuda bandar berusia 25 tahun yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Australia untuk mengikut jejak rakan-rakannya. Tanpa pengetahuan ibu bapanya, Anisah dan Talib, Syafiq telah mendapatkan surat tawaran universiti luar negara. Namun, impiannya ditentang keras kerana ibu bapanya bimbang Syafiq mudah terpengaruh dengan budaya Barat.

Sebagai jalan tengah, Anisah menetapkan satu syarat yang disangka mustahil dipenuhi Syafiq, iaitu tinggal selama 30 hari sepanjang Ramadan di kampung dan menjaga datuknya, Tokwan (Sabri Yunus), yang tinggal bersendirian. Syarat inilah yang menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidup Syafiq.

Konflik bermula seawal ketibaannya di kampung apabila Syafiq berdepan pelbagai kesulitan, termasuk insiden tayar pancit yang mempertemukannya dengan Laura (Ariana Yusof), seorang gadis kampung yang nakal, periang, dan tidak gentar menyindir egonya. Pertemuan pertama yang penuh sindiran itu menjadi permulaan kepada hubungan benci tapi suka, di mana setiap pertemuan mereka kerap berakhir dengan perbalahan kecil yang menghiburkan.

Syafiq awalnya tidak selesa dengan rutin kampung — dari bersahur dengan makanan sederhana, berbuka di masjid, hingga solat tarawih berjemaah — dan merasakan kebebasannya terhad. Namun kebijaksanaan Tokwan perlahan-lahan melembutkan hati cucunya. Di sebalik sikap tegas Tokwan, terselit kasih sayang dan didikan halus mengenai kehidupan dan agama.

Hubungan Syafiq dan Laura semakin akrab apabila Syafiq mula menghargai keistimewaan Laura, seorang gadis cekal yang bekerja keras, membantu orang kampung, dan taat beribadah. Pelbagai momen manis tercipta, daripada belajar menggergaji buluh, menganyam ketupat, hingga menghadiahkan langsir dan cadar raya, yang tanpa disedari menyingkap perasaan cinta yang mula tumbuh di hati mereka.

Namun, ujian demi ujian muncul. Rakan-rakan Syafiq, Mizi (Hazim The Dukes) dan Aris (Ziyad The Dukes) dari Kuala Lumpur, muncul untuk memujuknya pulang, termasuk Emy (Raden Zaharatul) yang menyimpan perasaan terhadap Syafiq, sekali gus mencetuskan rasa cemburu dalam diri Laura. Dalam kekeliruan perasaan dan nasihat bercanggah daripada rakan-rakan Laura, Syafiq berdepan dilema antara impian lama dan kebahagiaan baharu.

Sanggupkah Syafiq melepaskan impian ke luar negara demi masa depan yang lebih tenang di tanah air bersama insan yang dicintai? Adakah cinta yang hadir di bulan Ramadan cukup kuat untuk mengubah arah hidup seorang anak bandar?

Jangan lepaskan peluang menyaksikan drama bersiri mikro Mr. Perfect Ramadan, bermula 19 Februari, setiap hari jam 12.00 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan platform Tonton. Sebuah kisah ringan tetapi penuh makna tentang Ramadan, keluarga, dan cinta yang hadir tanpa dipaksa.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube, dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat, serta platform rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.