Selepas kejayaan kerjasama mereka dalam lagu “Nadi”, pemain gitar legenda Jobranko dan penyanyi-komposer serba boleh Yonnyboii mengadakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat mereka dalam acara “Sentuhan Nadi” hari ini. Bertempat di lokasi ikonik Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, seramai 20 peminat bertuah berpeluang meluangkan masa bersama idola mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang.
Acara ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat dan penyokong setia yang telah menyokong perjalanan muzik Jobranko dan Yonnyboii selama ini. 20 peminat bertuah ini dipilih daripada peraduan ‘cover’ lagu “Nadi” yang diadakan di media sosial dari 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu. Peserta perlu memuat naik cover terbaik mereka dengan versi sendiri dan menyertakan hashtag #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video mereka.
Kemuncak acara ini adalah pengumuman pemenang yang bertuah membawa pulang sebuah gitar istimewa yang ditandatangani oleh Jobranko dan Yonnyboii. Gitar tersebut ditaja oleh Music Bliss Malaysia bersama ERA. Setelah masing-masing mempamerkan bakat mereka, hadiah istimewa ini pastinya menjadi kenangan paling berharga buat pemenang, apatah lagi disampaikan sendiri oleh idola mereka.
“Sentuhan Nadi” juga menjadi detik manis buat Jobranko dan Yonnyboii untuk beramah mesra dengan peminat mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan seperti ini memberi peluang keemasan untuk berkongsi rasa dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Bagi peminat pula, acara ini membuka ruang untuk mereka bertanya soalan yang sekian lama terbuku di hati serta menimba ilmu daripada idola mereka.
Selain sesi bertemu peminat, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan eksklusif daripada Jobranko, Yonnyboii, dan penyanyi hebat Asyraf Nasir. Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya “Salahku”, berduet dengan Asyraf menerusi lagu “Tak Sangka”, dan bergabung tenaga dengan Jobranko dan kugirannya untuk lagu “Nadi“. Gabungan artis lama dan muda ini pastinya memberikan pengalaman yang luar biasa kepada semua yang hadir.
Lagu “Nadi” yang dilancarkan pada hujung Jun lalu merupakan hasil kolaborasi antara Yonnyboii dan Jobranko. Kombinasi dua generasi berbeza ini mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik tempatan. Selepas lebih dua bulan dilancarkan, muzik video rasmi “Nadi” di YouTube telah meraih lebih 211,000 tontonan, manakala jumlah pendengar di platform penstriman muzik terus meningkat.
Yonnyboii percaya lagu yang dicipta bersama komposer Amy Bong ini mampu menyentuh hati ramai kerana ia diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya. Dapat menyalurkan perasaan dan pengalamannya dalam single ini juga memberinya satu kelegaan.
Secara keseluruhannya, acara “Sentuhan Nadi” bukan sahaja menjadi platform untuk Jobranko dan Yonnyboii menghargai peminat mereka, tetapi juga menjadi ruang untuk mereka berinteraksi secara lebih dekat dan peribadi. Momen-momen istimewa ini pastinya akan terpahat dalam ingatan semua yang hadir, menjadi bukti betapa kuatnya ikatan antara artis dan peminat.