Cromok dan Barbarik Gegarkan Black On White, Buktikan Muzik Keras Tempatan Masih Bernyawa

Konsert Black On White yang menghimpunkan dua nama besar muzik thrash metal tanah air, Cromok dan Barbarik, berjaya membuktikan bahawa genre muzik keras masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat. Berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara pada 27 Jun lalu, konsert berkenaan bukan sekadar mempertemukan dua kumpulan legenda di atas satu pentas, malah menghadirkan sebuah persembahan penuh tenaga, emosi dan nostalgia yang sukar dilupakan.

Sejak pengumuman konsert itu dibuat, ramai peminat mengharapkan sebuah persembahan yang luar daripada kebiasaan. Harapan tersebut ternyata tidak menghampakan apabila kedua-dua kumpulan tampil dengan persembahan bertenaga yang diperkukuhkan menerusi susunan muzik mantap, permainan instrumen yang kemas serta vokal yang kekal ampuh walaupun kebanyakan anggotanya kini sudah memasuki usia 50-an.

Konsert dibuka dengan lagu Black Fury yang menyaksikan gabungan mantap gitaris Karl dan JoBranko menghasilkan bunyian agresif serta dinamik. Persembahan itu terus menyemarakkan suasana sebelum Cromok meneruskan momentum menerusi lagu-lagu ikonik seperti Prophecy, Stranger, Memories, Another You, Fallen Heroes, I Don’t Belong Here, Misery, Seedling, Wisdom dan Little One.

Kemunculan lagu baharu berjudul Wisdom turut membuktikan Cromok masih aktif menghasilkan karya baharu dan tidak sekadar bergantung kepada lagu-lagu lama. Menurut Karl, pembawaan lagu tersebut menjadi simbol bahawa kumpulan itu masih terus berkembang dan relevan dalam industri muzik.

Lebih menyentuh perasaan apabila lagu Fallen Heroes dipersembahkan sebagai penghormatan kepada Allahyarham Din dan Allahyarham Miji yang merupakan individu penting dalam sejarah awal penubuhan Cromok. Persembahan tersebut menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang sama-sama menghargai jasa kedua-dua figura berkenaan.

Barbarik pula tidak kurang hebat apabila menghiburkan penonton menerusi lagu Peluru Cokelat, Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarong serta Golok Kayu. Keunikan vokal serak basah Muss terus menjadi kekuatan utama kumpulan itu, manakala persembahan keseluruhannya berjaya mengekalkan momentum konsert sehingga ke penghujung.

Di sebalik persembahan penuh bertenaga itu, Muss sebenarnya sedang berdepan ujian peribadi apabila isterinya, Suraya Bahari, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat komplikasi diabetes. Difahamkan, perkara tersebut hanya dimaklumkan kepadanya selepas konsert berakhir bagi memastikan fokusnya di atas pentas tidak terganggu. Seusai persembahan, beliau terus bergegas ke hospital untuk berada di sisi isterinya.

Antara momen paling istimewa malam itu ialah segmen medley lagu-lagu Kembara yang menampilkan Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan dan Gerhana. Segmen berkenaan memberikan sentuhan berbeza apabila identiti muzik keras disatukan dengan karya klasik yang dekat di hati peminat, selain memperlihatkan sisi berbeza Sam apabila menyampaikan lagu Melayu yang jarang dipersembahkan dalam konsert Cromok.

Secara keseluruhannya, Konsert Black On White berjaya menjadi bukti bahawa muzik thrash metal tempatan masih kekal relevan. Gabungan persembahan mantap, permainan muzik berkualiti, elemen nostalgia dan kisah di sebalik pentas menjadikan malam tersebut satu pengalaman bermakna buat semua yang hadir.