Cinta Gila: Kisah Cinta Galau yang Menghidupkan OST Perempuan Tidak Ternikah

Selepas mencuri perhatian sebagai peserta Top 5 rancangan realiti One In A Million, penyanyi dan komposer berbakat Mariam Saim kembali dengan karya terbaharu di bawah naungan Alternate Records & Talents berjudul Cinta Gila. Single ini turut dipilih sebagai runut bunyi drama popular slot Akasia TV3, Perempuan Tidak Ternikah, sekali gus mengukuhkan kehadiran Mariam dalam industri muzik tempatan.

Cinta Gila istimewa kerana merupakan karya pertama yang sepenuhnya dicipta, digubah dan liriknya ditulis sendiri oleh Mariam. Lagu ini menjadi luahan hati peribadi yang diterjemahkan dalam bentuk balada moden penuh emosi, mengisahkan sebuah hubungan yang sarat dengan tanda tanya antara cinta yang mendewasakan dan cinta yang menyakitkan. Penceritaannya membawa pendengar menelusuri perjalanan emosi seseorang yang cuba melepaskan, namun masih terikat dengan kenangan silam.

Dengan sentuhan strings dan susunan muzik yang minimalis, Cinta Gila menampilkan nuansa Indo pop balada yang galau, memberikan ruang kepada emosi, lirik dan vokal Mariam untuk bercerita secara jujur dan natural. Menurut Mariam, ramai yang pernah melalui hubungan penuh persoalan, dan Cinta Gila mungkin mewakili perasaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata, menjadikan lagu ini bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk dirasai.

Proses penulisan lagu ini mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu bagi menyempurnakan lirik dan melodi agar perjalanan emosinya terasa semula jadi, manakala rakaman vokal pula disiapkan dalam tempoh kira-kira dua jam. Ketika sesi rakaman korus, Mariam mengimbas kembali kisah yang menginspirasikan lagu ini sehingga terasa sebak, dan momen tersebut akhirnya menjadi ambilan terakhir kerana keikhlasan emosinya berjaya dirakam dengan sempurna.

Mariam turut berkongsi bahawa cabaran utama adalah memastikan lagu ini kekal jujur dengan emosi sendiri tanpa terlalu dramatik. Proses menulis dan menyunting dilakukan berulang kali bagi memastikan pendengar dapat merasai perjalanan emosi tersebut secara natural. Walaupun hadir dengan susunan muzik yang sederhana, Cinta Gila disifatkan kuat dari segi rasa, sarat jiwa dan dekat di hati pendengar.

Cinta Gila kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi di Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.