Cinta Bermula Dengan Kontrak, Berakhir Dengan Sayang – ‘Calon Isteri Buat Suami’ Gandingan Siti Hariesa & Jazmy Juma

Bayangkan bila isteri sendiri tolong carikan calon isteri untuk suaminya – gila tapi menarik, kan? Itulah yang cuba disampaikan dalam drama terbaru penuh emosi dan konflik, Calon Isteri Buat Suami, yang bakal mengisi slot popular Akasia di TV3 bermula 8 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam. Bagi yang gemar strim online, drama ini juga boleh ditonton di iQIYI pada jam 8.00 malam secara percuma!

Menampilkan gandingan hangat antara Siti Hariesa dan Jazmy Juma, drama bersiri sebanyak 25 episod ini diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd. di bawah arahan Bahri Umar dan nukilan skrip Sophilea. Ia menyentuh tema cinta, kekeluargaan dan pengorbanan – sesuai untuk mereka yang suka kisah penuh air mata, kejutan dan rasa manis cinta yang perlahan-lahan mekar.

Kisah bermula apabila Haizi (lakonan Siti Hariesa) cuba bangkit semula selepas putus tunang dengan Khalif. Demi membuktikan dirinya, dia membawa diri ke Kuala Lumpur. Takdir mempertemukan Haizi dengan Datin Yasmin yang kemudian menawarkannya kerja dan satu ‘kontrak jodoh’: kahwin dengan anaknya, Nazim (lakonan Jazmy Juma), dan jika mahu lepaskan perkahwinan itu, Haizi perlu carikan pengganti yang lebih baik untuk Nazim.

Kontrak yang pelik itu membuka ruang kepada hubungan yang pada awalnya hambar, tapi kemudian berubah menjadi rasa cinta sejati. Namun, kemunculan sepupu Nazim, Dayana (Trisha Ooi), dengan pelbagai tuduhan mengejutkan mula menggoncang hubungan mereka – lebih-lebih lagi apabila Haizi sedang mengandung. Mampukah pasangan ini mempertahankan cinta mereka atau akan kecundang di tengah jalan?

Jazmy Juma turut berkongsi pengalaman indah sepanjang penggambaran bersama Siti Hariesa. Katanya, “Bergandingan dengan Hariesa memang tak dapat dilupakan. Kami banyak berbincang dan saling sokong, dan chemistry tu memang menjadi.” Tambahnya lagi, hubungan rapat dengan pengarah turut memainkan peranan penting dalam menjadikan setiap babak lebih hidup dan menyentuh emosi.

Untuk peminat setia iQIYI, episod baharu boleh ditonton lebih awal oleh pelanggan VIP pada hari yang sama jam 8.00 malam. Manakala penonton biasa boleh menikmatinya secara percuma selepas 48 jam. Jangan lupa muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store!

Sejak kemunculannya di Malaysia pada 2020, iQIYI terus mendapat tempat di hati penonton tempatan. Pada 2021 sahaja, ia mencatat pertumbuhan lebih 15 kali ganda dan kini menjadi platform penstriman nombor satu Asia di Malaysia dari segi jumlah muat turun dan masa tontonan.

Nak tahu lebih banyak perkembangan drama-drama menarik macam ni? Ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta @dramasangat di Instagram.